Skip to content
Opens in a new window

[1] Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN! Bernyanyilah untuk TUHAN, hai seluruh dunia!

[2] Bernyanyilah untuk TUHAN, dan pujilah Dia! Setiap hari isytiharkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita.

[3] Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan kepada segenap manusia.

[4] TUHAN itu agung dan mesti dipuji setinggi-tingginya, Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa.

[5] Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, tetapi TUHAN pencipta angkasa raya.

[6] Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan semarak-Nya.

[7] Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya!

[8] Pujilah nama TUHAN yang mulia; bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya.

[9] Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul; gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi!

[10] Katakanlah kepada semua bangsa, “TUHAN itu raja! Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang; Dia akan menghakimi semua bangsa dengan adil.”

[11] Bersukacitalah, hai bumi dan langit! Berderulah, hai laut dan segala isimu!

[12] Bergembiralah, hai ladang-ladang dan segala tanamanmu! Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan,

[13] apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi. Dia akan memerintah penduduk dunia dengan jujur dan adil.

Mazmur — Chapters