[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Mazmur kesaksian Asaf.
[2] Dengarlah kami, hai Gembala umat Israel; Engkau yang mengetuai umat-Mu. Engkau yang bertakhta di atas kerub,
[3] tunjukkanlah diri-Mu kepada suku Efraim, Benyamin, dan Manasye! Nyatakanlah kuasa-Mu; datanglah dan selamatkanlah kami!
[4] Pulihkanlah kami, ya Allah! Kasihanilah kami supaya kami selamat!
[5] Ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, sampai bilakah Engkau murka dan tidak mendengar doa umat-Mu?
[6] Engkau memberi kami kesengsaraan sebagai makanan, dan air mata yang banyak sebagai minuman.
[7] Engkau membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling berperang kerana hendak merampas negeri kami; musuh-musuh mengejek kami.
[8] Pulihkanlah kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Kasihanilah kami supaya kami selamat.
[9] Engkau membawa umat-Mu yang seperti pokok anggur keluar dari Mesir; Engkau mengusir bangsa-bangsa lain, lalu menanam pokok itu di negeri mereka.
[10] Engkau menyediakan tanah baginya; akarnya mendalam dan menjalar ke seluruh negeri itu.
[11] Bayangnya meneduhkan bukit-bukit, dan dahan-dahannya menutupi pokok sedar yang besar.
[12] Cabang-cabangnya menjalar ke Laut Tengah, pucuk-pucuknya sampai ke Sungai Efrat.
[13] Mengapakah Engkau merobohkan pagar di sekelilingnya? Kini sesiapa yang lalu di situ dapat mencuri buah anggurnya.
[14] Babi hutan memijak-mijaknya, dan binatang liar pun memakannya.
[15] Berpalinglah kepada kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Pandanglah kami dari syurga; datanglah dan selamatkanlah umat-Mu!
[16] Selamatkanlah umat-Mu yang seperti pokok anggur yang Engkau tanam, pokok muda yang telah Engkau jadikan begitu kuat.
[17] Musuh kami telah membakar dan memotong pokok itu; biarlah mereka dibinasakan oleh kemurkaan-Mu!
[18] Lindungilah dan peliharalah umat yang telah Engkau pilih, bangsa yang telah Engkau jadikan begitu kuat.
[19] Tidak sekali-kali kami akan meninggalkan Engkau lagi; biarlah kami hidup, lalu Engkau akan kami puji.
[20] Pulihkanlah kami, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa. Kasihanilah kami supaya kami selamat.