[1] Marilah kita memuji TUHAN, dan bernyanyi dengan gembira kepada Allah, pelindung dan penyelamat kita!
[2] Marilah kita menghadap Dia dengan kesyukuran, dan dengan gembira menyanyikan lagu pujian.
[3] TUHAN itu Allah yang berkuasa, raja perkasa yang menguasai semua dewa.
[4] Dia memerintah seluruh bumi, gua yang terdalam dan juga gunung yang tertinggi.
[5] Dia menguasai laut yang dicipta-Nya, dan juga darat yang dibentuk-Nya.
[6] Marilah kita bersujud dan menyembah Dia; marilah kita berlutut di hadapan TUHAN, pencipta kita!
[7] Dialah Allah kita; kitalah umat yang dipelihara-Nya, seperti kawanan domba yang digembalakan-Nya. Pada hari ini dengarlah firman-Nya,
[8] “Jangan degil seperti nenek moyang kamu di Meriba, ketika mereka berada di gurun, di Masa.
[9] Di sana mereka menguji dan mencuba Aku, sungguhpun mereka sudah melihat perbuatan-Ku.
[10] Selama empat puluh tahun Aku muak terhadap mereka; Aku berfirman, ‘Alangkah derhakanya mereka! Mereka enggan taat kepada perintah-Ku.’
[11] Aku murka lalu bersumpah bahawa mereka tidak sekali-kali akan masuk ke negeri itu, tempat Aku memberi mereka rehat.”