Skip to content
Opens in a new window

[1] Mengapakah Engkau begitu jauh, ya TUHAN, dan bersembunyi pada masa kami dalam kesusahan?

[2] Dengan sombong orang jahat menindas orang miskin; biarlah mereka dijerat oleh perangkap mereka sendiri.

[3] Orang jahat membangga-banggakan niat jahat mereka; orang tamak mengutuki dan menolak TUHAN.

[4] Orang jahat tidak mempedulikan TUHAN; kerana mereka sombong, mereka berfikir Allah tidak ada.

[5] Orang jahat berjaya dalam segala perbuatan mereka. Mereka tidak dapat memahami pengadilan Allah; mereka mentertawakan musuh-musuh mereka.

[6] Mereka berkata dalam hati, “Kami tidak akan gagal; kami tidak akan ditimpa kesusahan.”

[7] Percakapan mereka penuh dengan sumpahan, dusta, dan ancaman; mereka cepat menista dan menjahati orang.

[8] Mereka bersembunyi di kampung-kampung, dan menunggu untuk membunuh orang yang tidak bersalah. Mereka mengintip mangsa yang tidak berdaya;

[9] mereka menunggu di tempat persembunyian seperti singa. Mereka menantikan orang yang tidak berupaya, lalu menangkap dan menyeret mereka dari situ.

[10] Mangsa yang tidak berdaya remuk tergelimpang, ditewaskan oleh keganasan.

[11] Orang jahat berfikir, “Allah tidak peduli! Allah telah memejamkan mata-Nya dan tidak melihat kami!”

[12] Ya TUHAN, hukumlah orang yang jahat! Jangan lupakan orang yang sengsara!

[13] Mengapakah orang jahat menghina Allah, dan berfikir mereka tidak akan dihukum Allah?

[14] Tetapi Engkau nampak; Engkau perhatikan kesusahan dan penderitaan orang, dan sentiasa sedia untuk menolong mereka. Orang yang tidak berdaya menyerahkan dirinya kepada-Mu, kerana Engkau selalu menolong orang yang susah.

[15] Patahkanlah kekuasaan orang yang jahat dan durjana; hukumlah mereka kerana kekejaman mereka sehingga mereka berhenti melakukannya.

[16] TUHAN raja selama-lamanya, dan orang yang tidak mengenal Dia akan lenyap dari negeri-Nya.

[17] TUHAN, kabulkanlah doa orang hina; berikanlah semangat kepada mereka.

[18] Engkau mendengar tangisan anak yatim dan orang yang ditindas; Engkau membela mereka supaya orang tidak lagi menakutkan mereka.

Mazmur — Chapters