Skip to content
Opens in a new window

[1] Doa Daud. Dengarlah rayuanku, ya TUHAN, permintaanku untuk keadilan. Perhatikanlah tangisanku, dengarkanlah doaku yang tulus.

[2] Engkau akan membela aku, kerana Engkau tahu apa yang benar.

[3] Engkau mengenal hatiku. Apabila Engkau datang kepadaku pada waktu malam, dan memeriksa aku dengan teliti, tidak akan Kaudapati niat yang jahat pada diriku.

[4] Aku tidak mengatakan yang jahat, seperti orang lain; aku mentaati perintah-Mu dan tidak melakukan keganasan.

[5] Aku selalu hidup menurut petunjuk-Mu dan tidak pernah menyeleweng.

[6] Aku berdoa kepada-Mu, ya Allah, kerana Engkau menjawab aku; oleh itu berpalinglah kepadaku dan dengarkanlah kata-kataku.

[7] Tunjukkanlah kasih-Mu yang mengagumkan, dan selamatkanlah orang yang berlindung kepada-Mu; di sisi-Mu, aku selamat daripada segala musuh.

[8] Lindungilah aku, seperti biji mata-Mu sendiri; sembunyikanlah aku di bawah naungan sayap-Mu,

[9] lindungilah aku daripada orang jahat yang menyerang aku. Musuh yang mengancam nyawaku mengelilingi aku;

[10] mereka bercakap sombong dan tidak berbelas kasihan.

[11] Mereka mengejar dan mengepung aku, mencari peluang untuk menjatuhkan aku.

[12] Mereka bagaikan singa yang menunggu hendak menyiat aku, seperti anak singa yang bersembunyi menantikan aku.

[13] Bangkitlah, ya TUHAN, lawanlah dan kalahkanlah musuhku! Selamatkanlah aku daripada orang jahat dengan pedang-Mu.

[14] Selamatkanlah aku daripada orang yang menimbun harta di dunia. Hukumlah mereka dengan penderitaan yang telah Engkau sediakan untuk mereka; biarlah anak cucu mereka dihukum juga.

[15] Aku akan melihat Engkau kerana aku tidak bersalah; dan apabila aku terjaga, hadirat-Mu membuat hatiku gembira.

Mazmur — Chapters