[1] Mazmur Daud. TUHAN adalah cahayaku dan penyelamatku; aku tidak akan takut kepada sesiapa pun. TUHAN melindungi aku daripada segala bahaya; aku tidak akan gentar.
[2] Apabila orang jahat menyerang aku dan cuba membunuh aku, mereka akan tersandung lalu jatuh.
[3] Walaupun semua tentera mengepung aku, aku tidak akan takut; walaupun musuhku menyerang aku, aku akan tetap percaya kepada Allah.
[4] Aku telah memohon satu perkara kepada TUHAN; hanya satu sahaja yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah TUHAN sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya.
[5] Pada masa kesusahan Dia akan melindungi aku; Dia akan menjaga aku supaya selamat di dalam Rumah-Nya, dan menempatkan aku di atas gunung batu.
[6] Maka aku akan mengalahkan semua musuh di sekelilingku. Dengan sorakan gembira aku akan mempersembahkan korban di dalam Rumah-Nya; aku akan menyanyi dan memuji TUHAN.
[7] Dengarlah aku, ya TUHAN, apabila aku berseru kepada-Mu. Kasihanilah aku dan jawablah aku!
[8] Hatiku berkata, “Marilah menyembah Dia.” Aku segera datang, ya TUHAN;
[9] janganlah sembunyikan diri-Mu daripadaku. Janganlah marah dan tolak hamba-Mu. Engkaulah yang telah menjadi penolongku. Janganlah tinggalkan atau buang aku, ya Allah, penyelamatku!
[10] Sekalipun ibu dan bapaku meninggalkan aku, tetapi TUHAN akan memelihara aku.
[11] Ajarilah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan pimpinlah aku pada jalan yang selamat, kerana musuhku amat banyak.
[12] Janganlah serahkan aku kepada musuhku, yang menyerang aku dengan fitnah dan ancaman.
[13] Aku yakin bahawa aku akan mengalami kebaikan TUHAN dalam hidupku di dunia ini.
[14] Berharaplah kepada TUHAN! Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa. Ya, berharaplah kepada TUHAN!