Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.

[2] Aku menanti pertolongan TUHAN dengan sabar, lalu Dia memperhatikan aku dan mendengar seruanku.

[3] Dia menarik aku dari lubang yang berbahaya, dari paya yang berlumpur. Dia meletakkan aku di atas batu sehingga langkahku kukuh.

[4] Dia mengajar aku menyanyi lagu yang baru, lagu pujian untuk Allah kita. Banyak orang yang melihat perkara ini akan menjadi takut lalu percaya kepada TUHAN.

[5] Berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN, orang yang tidak menyembah berhala atau mengikut mereka yang menyembah dewa.

[6] Engkau telah melakukan banyak perkara untuk kami, ya TUHAN, Allahku, Engkau tidak ada bandingnya! Engkau telah membuat banyak rancangan yang baik untuk kami, tidak mungkin aku dapat menceritakan segalanya.

[7] Engkau tidak mahu korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa. Tetapi Engkau telah memberi aku telinga yang dapat mendengar firman-Mu.

[8] Oleh itu aku menyahut, “Inilah aku; arahan-Mu untukku tercatat di dalam kitab Taurat.

[9] Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Allahku! Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.”

[10] Dalam perhimpunan umat-Mu aku menceritakan berita baik bahawa Engkau telah menyelamatkan kami. Dengan tidak hentinya, aku menceritakannya. Ya TUHAN, Engkau mengetahui semuanya.

[11] Aku tidak menyimpan berita penyelamatan itu dalam hati; aku selalu menceritakan pertolongan dan kesetiaan-Mu. Dalam perhimpunan umat-Mu, aku tidak pernah berdiam diri tentang kesetiaan dan kasih-Mu.

[12] Ya TUHAN, janganlah berhenti mengasihani aku; peliharalah aku dengan kasih dan kesetiaan-Mu.

[13] Aku dikelilingi banyak kesusahan, jumlahnya tidak terkira. Dosa-dosaku telah mengejar aku, sehingga aku tidak dapat melihat. Jumlahnya melebihi rambut di kepalaku, dan aku kehilangan semangat.

[14] Ya TUHAN, selamatkanlah aku! Ya TUHAN, cepatlah tolong aku!

[15] Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dibingungkan. Biarlah mereka yang gembira kerana kesusahanku, dipukul mundur dan dipermalukan.

[16] Biarlah mereka yang mengejek aku terkejut dan malu kerana dikalahkan.

[17] Semoga semua orang yang datang kepada-Mu bergembira dan bersukacita! Semoga mereka yang bersyukur bagi penyelamatan-Mu sentiasa berkata, “Sungguh agungnya TUHAN!”

[18] Aku lemah dan tidak berdaya; tetapi Engkau, ya Tuhan, mengingati aku. Engkaulah penolong dan penyelamatku; cepatlah datang menolong aku, ya Allahku!

Mazmur — Chapters