[1] Mazmur Daud. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; tolonglah aku sekarang! Dengarlah aku apabila aku berseru kepada-Mu.
[2] Terimalah doaku sebagai kemenyan, dan sambutlah tangan yang aku tadahkan sebagai korban malam.
[3] Ya TUHAN, kawallah mulutku, dan jagalah bibirku.
[4] Jauhkan aku daripada keinginan berbuat jahat, dan daripada pergaulan dengan orang derhaka. Jangan biarkan aku berpesta dengan mereka.
[5] Aku rela menerima hukuman dan teguran daripada orang baik, tetapi aku tidak akan menerima pujian daripada orang jahat kerana aku sentiasa berdoa menentang perbuatan jahat mereka.
[6] Apabila pemerintah mereka dicampakkan dari tebing batu, barulah mereka akan mengakui bahawa perkataanku benar.
[7] Seperti kayu yang dibelah dan ditetak kecil-kecil, begitulah juga tulang mereka dihamburkan di tepi kubur.
[8] Tetapi aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN Rajaku; aku mengharapkan perlindungan-Mu; janganlah biarkan aku mati!
[9] Lindungilah aku dari perangkap yang dipasang untukku, dari jerat yang dipasang oleh orang jahat.
[10] Biarlah mereka jatuh ke dalam perangkap mereka sendiri, sedangkan aku dapat melepaskan diri dan selamat.