Skip to content
Opens in a new window

[1] Mazmur Asaf. Ya Allah, orang yang tidak mengenal Engkau telah menyerang tanah-Mu. Mereka telah menajiskan Rumah-Mu yang suci dan meruntuhkan Yerusalem.

[2] Mayat umat-Mu ditinggalkan mereka untuk dimakan burung pemakan bangkai. Mayat hamba-hamba-Mu dibiarkan mereka untuk dimakan binatang liar.

[3] Mereka menumpahkan darah umat-Mu seperti air; darah mengalir di seluruh Yerusalem, dan tiada orang yang tinggal untuk menguburkan orang mati.

[4] Bangsa-bangsa di sekeliling mengejek kami; mereka mentertawakan serta mengolok-olokkan kami.

[5] Ya TUHAN, berapa lamakah Engkau akan murka terhadap kami? Adakah kemurkaan-Mu akan terus membakar seperti api?

[6] Murkailah bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau; orang yang tidak berdoa kepada-Mu,

[7] kerana mereka telah membunuh umat-Mu dan merosakkan negeri-Mu.

[8] Jangan hukum kami kerana dosa nenek moyang kami, tetapi kasihanilah kami sekarang kerana kami putus asa.

[9] Tolonglah kami, ya Allah, penyelamat kami; demi kehormatan-Mu sendiri, selamatkanlah kami dan ampunkanlah dosa kami.

[10] Jangan biarkan bangsa-bangsa lain bertanya, “Di manakah Allah kamu?” Hukumlah bangsa-bangsa itu di hadapan kami kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Mu.

[11] Dengarlah rintihan orang tawanan, dan dengan kuasa-Mu yang besar, bebaskanlah mereka yang dihukum mati.

[12] Ya Tuhan, balaslah bangsa-bangsa itu tujuh kali ganda, bagi segala hinaan yang telah dilemparkan kepada-Mu.

[13] Lalu kami, umat-Mu, domba-domba-Mu, akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya, dan memuji-Mu sampai turun-temurun.

Mazmur — Chapters