[1] Hai orang salih, bersoraklah dengan gembira kerana segala yang dilakukan TUHAN; pujilah Dia, hai semua orang yang taat kepada-Nya!
[2] Bersyukurlah kepada TUHAN dengan kecapi, bernyanyilah dengan iringan alat muzik bertali.
[3] Nyanyikanlah lagu yang baru untuk TUHAN, mainkanlah kecapi dengan mahir, dan nyanyilah dengan suara yang kuat!
[4] Firman TUHAN itu benar, dan segala perbuatan-Nya boleh dipercayai.
[5] TUHAN mengasihi kejujuran dan keadilan; seluruh bumi penuh dengan kasih-Nya.
[6] TUHAN mencipta langit dengan perintah-Nya, matahari, bulan, dan bintang dijadikan oleh firman-Nya.
[7] Dia mengumpulkan laut di suatu tempat; Dia menahan lautan di dalam bendungan.
[8] Takutlah akan TUHAN, hai seluruh bumi! Hormatilah Dia, hai semua penduduk dunia!
[9] Apabila Dia berfirman, dunia tercipta; oleh firman-Nya, segala-galanya dijadikan.
[10] TUHAN menggagalkan rancangan bangsa-bangsa; Dia meniadakan niat mereka.
[11] Tetapi rancangan TUHAN tahan selama-lamanya, dan tujuan-Nya tidak berkesudahan.
[12] Berbahagialah bangsa yang mengakui TUHAN sebagai Allahnya; berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya!
[13] TUHAN memandang ke bawah dari syurga, dan melihat semua manusia.
[14] Dari takhta-Nya Dia mengamati semua yang tinggal di bumi.
[15] Dialah yang membentuk hati mereka, dan mengetahui segala perbuatan mereka.
[16] Raja menang bukan kerana tenteranya besar, askar menang bukan kerana kuat.
[17] Kuda tidak dapat diharap untuk memenangi perang; kekuatan kuda tidak dapat menyelamatkan.
[18] TUHAN memerhatikan mereka yang mentaati-Nya, mereka yang mengharapkan kasih-Nya.
[19] Dia menyelamatkan mereka daripada kematian; Dia memelihara nyawa mereka pada masa kelaparan.
[20] Kita berharap kepada TUHAN; Dialah penolong dan pelindung kita.
[21] Kita bersukacita kerana Dia; kita percaya kepada nama-Nya yang suci.
[22] Semoga kasih-Mu menyertai kami, ya TUHAN, kerana kami berharap kepada-Mu.