[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu Mut-Laben. Mazmur Daud.
[2] Aku akan memuji Engkau dengan segenap hatiku, TUHAN, dan menceritakan segala keajaiban yang telah Engkau lakukan.
[3] Aku akan menyanyi dengan riang kerana Engkau, dan menyanyikan pujian kepada-Mu, Yang Maha Tinggi.
[4] Ketika Engkau muncul, musuhku berpatah balik; mereka jatuh tersandung lalu mati.
[5] Engkau memerintah sebagai hakim yang adil, dan Engkau telah membela perkaraku.
[6] Engkau telah menghukum bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu, dan membinasakan orang jahat; mereka tidak akan dikenang lagi.
[7] Musuh kami lenyap selama-lamanya; Engkau telah memusnahkan kota-kota mereka, dan mereka dilupakan sama sekali.
[8] Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya; Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia.
[9] Dia memerintah dunia dengan adil, dan menghakimi rakyat dengan saksama.
[10] TUHAN adalah pernaungan bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada masa kesusahan.
[11] Mereka yang mengenal Engkau yakin kepada-Mu, ya TUHAN; sesiapa pun yang datang kepada-Mu tidak Kautinggalkan.
[12] Pujilah TUHAN yang memerintah di Sion! Beritakanlah perbuatan-Nya kepada setiap bangsa!
[13] Allah ingat akan mereka yang menderita; Dia tidak melupakan tangisan mereka, Dia menghukum orang yang berlaku kejam terhadap mereka.
[14] Kasihanilah aku, ya TUHAN! Lihatlah, musuhku menyengsarakan aku. Selamatkanlah aku daripada maut, ya TUHAN,
[15] supaya aku dapat memuji Engkau di hadapan penduduk Yerusalem. Aku akan bersorak gembira kerana Engkau menyelamatkan aku.
[16] Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Engkau jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri; mereka memasang perangkap, tetapi mereka sendiri terperangkap.
[17] TUHAN menyatakan diri-Nya dengan keputusan yang adil; orang jahat terperangkap oleh perbuatan mereka sendiri.
[18] Maut ialah kesudahan semua orang jahat, semua orang yang menolak Allah.
[19] Orang miskin tidak selamanya dilupakan; orang papa tidak selamanya kehilangan harapan.
[20] Bangkitlah, ya TUHAN, hakimilah bangsa-bangsa, jangan biarkan manusia terlepas daripada hukuman.
[21] Buatlah mereka takut, ya TUHAN; sedarkanlah mereka bahawa mereka itu hanya insan.