Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Sajak Daud,

[2] pada masa Doeg, orang Edom itu menghadap Raja Saul dan memberitahu baginda bahawa Daud sudah pergi ke rumah Abimelekh.

[3] Hai orang gagah, mengapa engkau membanggakan kejahatanmu terhadap orang yang dikasihi Allah?

[4] Sepanjang hari engkau merancang kehancuran orang; mulutmu setajam pisau cukur, dan dusta sentiasa engkau karang.

[5] Engkau lebih mencintai kejahatan daripada kebaikan, dan lebih menyukai fitnah daripada kebenaran.

[6] Engkau suka menyakiti hati orang dengan kata-kata. Engkau pendusta!

[7] Oleh itu, Allah akan memusnahkan engkau selama-lamanya; Dia akan menangkap dan menarik engkau dari rumah; Dia akan melenyapkan engkau dari dunia orang hidup.

[8] Orang salih akan melihat perbuatan ini dan berasa takut; mereka akan mentertawakan engkau, dan berkata,

[9] “Lihat, inilah orang yang tidak berlindung kepada Allah, tetapi yakin akan kekayaannya yang berlimpah, dan mencari perlindungan dalam jenayah.”

[10] Tetapi aku umpama pokok zaitun yang tumbuh di Rumah Allah; aku bergantung kepada kasih-Nya selama-lamanya.

[11] Ya Allah, aku akan sentiasa bersyukur kepada-Mu, kerana segala perbuatan-Mu; di tengah-tengah umat-Mu, aku akan memberitakan kebaikan-Mu.

Mazmur — Chapters