[1] Mazmur Daud. Ya TUHAN, pembelaku, aku berseru kepada-Mu. Dengarlah teriakanku! Jika Engkau tidak mengabulkan doaku, aku seperti orang yang masuk ke lubang kubur.
[2] Dengarkanlah aku ketika aku berseru meminta pertolongan, aku mengangkat tanganku ke arah Rumah-Mu yang suci.
[3] Janganlah hukum aku bersama dengan orang durjana, bersama-sama orang yang melakukan kejahatan - orang yang bermulut manis, tetapi hati diliputi kebencian.
[4] Hukumlah mereka kerana perbuatan mereka, kerana segala kejahatan yang telah dilakukan mereka. Hukumlah mereka kerana segala perbuatan mereka; balaslah mereka dengan sepatutnya.
[5] Mereka tidak mempedulikan perbuatan TUHAN, mahupun segala ciptaan-Nya; oleh itu TUHAN akan menghukum mereka dan memusnahkan mereka selama-lamanya.
[6] Pujilah TUHAN; Dia telah mendengar permohonanku.
[7] TUHAN melindungi dan membela aku; aku percaya kepada-Nya. Dia menolong aku dan menggirangkan hatiku; aku memuji Dia dengan lagu kesyukuran.
[8] TUHAN melindungi umat-Nya; Dia membela dan menyelamatkan raja pilihan-Nya.
[9] Ya TUHAN, selamatkanlah umat-Mu, dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu. Jadilah seperti gembala bagi mereka, dan jagalah mereka selama-lamanya.