[1] Sajak Etan, orang Ezrahi.
[2] Ya TUHAN, aku akan sentiasa menyanyikan kasih-Mu yang kekal; aku akan memberitakan kesetiaan-Mu selama-lamanya.
[3] Aku tahu bahawa kasih-Mu kekal, dan kesetiaan-Mu kukuh seperti langit.
[4] Engkau berfirman, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang pilihan-Ku; Aku telah berjanji kepada Daud, hamba-Ku:
[5] ‘Aku akan mempertahankan takhtamu selama-lamanya, seorang keturunanmu akan sentiasa menjadi raja.’ ”
[6] Semua makhluk syurga memuji perbuatan-Mu yang ajaib, dan menyanyikan kesetiaan-Mu, ya TUHAN.
[7] Tiada sesiapa di langit yang seperti Engkau, ya TUHAN; tiada makhluk syurga yang setanding dengan Engkau.
[8] Engkau dihormati di sidang makhluk suci, dan sangat ditakuti oleh semua yang di sekeliling-Mu.
[9] Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa seperti Engkau; Engkau setia dalam segala hal, ya TUHAN.
[10] Engkau memerintah laut yang bergelora, Engkau menenangkan ombak yang melambung hebat.
[11] Engkau meremukkan dan membunuh Rahab, makhluk raksasa itu, dan Engkau mengalahkan musuh-Mu dengan kekuatan-Mu.
[12] Bumi dan langit milik-Mu, dunia dan segala isinya ciptaan-Mu;
[13] Engkau mencipta utara dan selatan; Gunung Tabor dan Gunung Hermon bersorak-sorai memuji-Mu.
[14] Betapa besarnya kuasa-Mu, dan betapa hebatnya kekuatan-Mu!
[15] Kerajaan-Mu berasaskan hukum dan keadilan; kasih dan kesetiaan terdapat pada segala perbuatan-Mu.
[16] Berbahagialah orang yang menyembah Engkau dengan nyanyian, orang yang hidup dalam cahaya hadirat-Mu, TUHAN.
[17] Sepanjang hari mereka bergembira, dan memuji Engkau kerana kebaikan-Mu.
[18] Engkau memberi kami kemenangan yang besar; demi kebaikan-Mu, Engkau membuat kami berjaya.
[19] Engkau, TUHAN memilih pelindung kami; Engkau, Allah Yang Maha Suci, Allah umat Israel memberi kami raja.
[20] Dahulu kala dalam suatu penglihatan, Engkau berfirman kepada hamba-hamba-Mu yang setia, “Aku telah menolong seorang pahlawan; Aku telah memberikan takhta kepada seorang yang Kupilih di kalangan rakyat.
[21] Aku telah menemukan hamba-Ku, Daud dan menjadikannya raja, dan Aku menuangi dia dengan minyak upacara.
[22] Kekuatan-Ku sentiasa bersama-sama dia, kuasa-Ku akan menguatkan dia.
[23] Musuh-musuhnya tidak akan dapat menewaskan dia, orang jahat tidak akan dapat mengalahkan dia.
[24] Aku akan menghancurkan lawannya, dan membunuh semua yang membenci dia.
[25] Aku akan sentiasa mengasihi dia dan setia kepadanya; Aku akan selalu memberikan kejayaan kepadanya.
[26] Aku akan meluaskan kerajaannya dari Laut Tengah sampai ke Sungai Efrat.
[27] Dia akan berkata kepada-Ku, ‘Engkaulah Bapaku dan Allahku; Engkaulah pelindung dan penyelamatku.’
[28] Aku akan menjadikan dia putera-Ku yang sulung, dan menjadikan dia raja yang teragung di bumi.
[29] Aku akan tetap mengasihinya, dan perjanjian-Ku dengan dia akan kekal selama-lamanya.
[30] Seorang keturunannya akan bertakhta, dan kerajaannya akan kukuh seperti langit.
[31] Tetapi jika keturunannya melanggar hukum-Ku, dan tidak hidup menurut peraturan-Ku;
[32] jika mereka mensia-siakan arahan-Ku, dan mengabaikan perintah-Ku,
[33] Aku akan menghukum mereka kerana dosa mereka, dan menyebabkan mereka menderita kerana kesalahan mereka.
[34] Tetapi Aku akan terus mengasihi Daud, Aku akan terus menunaikan janji-Ku kepadanya.
[35] Aku tidak akan membatalkan perjanjian-Ku dengan dia, ataupun menarik kembali sebarang janji yang Aku buat dengannya.
[36] Aku berjanji sekali sahaja untuk selama-lamanya dengan nama-Ku yang suci; Aku tidak akan berdusta kepada Daud.
[37] Dia akan sentiasa mempunyai keturunan, dan Aku akan memelihara kerajaannya selama matahari ada.
[38] Kerajaannya akan tetap ada seperti bulan, saksi yang setia di langit.”
[39] Tetapi Engkau murka terhadap raja pilihan-Mu; Engkau telah meninggalkan dan menolak baginda.
[40] Engkau telah membatalkan perjanjian-Mu dengan hamba-Mu, dan membuang mahkotanya ke dalam lumpur.
[41] Engkau telah merobohkan tembok-tembok kotanya, dan membiarkan kubu-kubunya rosak.
[42] Semua orang yang lalu di sana mencuri hartanya; semua jirannya memperolok-olokkan baginda.
[43] Engkau memberikan kemenangan kepada musuhnya, dan menyebabkan mereka semua gembira.
[44] Engkau membuat senjatanya tidak berguna, dan membiarkan baginda kalah dalam perang.
[45] Engkau mengakhiri kuasanya yang gemilang, dan mencampakkan takhtanya ke tanah.
[46] Engkau menjadikan raja tua sebelum masanya, dan Engkau mempermalukan baginda.
[47] Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau bersembunyi? Sampai bilakah kemurkaan-Mu berkobar seperti api?
[48] Ingatlah, betapa pendeknya usia manusia; ingatlah bahawa Engkau mencipta manusia sebagai makhluk fana.
[49] Siapakah yang boleh hidup dan tidak pernah mati? Bagaimanakah orang dapat mengelakkan kubur?
[50] Ya Tuhan, di manakah bukti tentang kasih-Mu dahulu? Di manakah janji-janji-Mu kepada Daud?
[51] Janganlah lupa bagaimana aku, hamba-Mu, telah dicela; bagaimana aku menanggung kutukan bangsa-bangsa.
[52] Musuh-Mu mencela raja pilihan-Mu, ya TUHAN! Mereka menghina raja ke mana sahaja baginda pergi.
[53] Pujilah TUHAN selama-lamanya! Amin! Amin!