[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.
[2] Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang tidak berdaya; TUHAN akan menolong mereka ketika mereka dalam kesusahan.
[3] TUHAN akan melindungi dan memelihara mereka, TUHAN akan membahagiakan mereka di negeri ini; TUHAN tidak akan menyerahkan mereka kepada musuh.
[4] TUHAN akan menolong mereka ketika mereka sakit dan memulihkan kesihatan mereka.
[5] Aku berkata, “Ya TUHAN, aku telah berdosa terhadap-Mu; kasihanilah aku dan sembuhkanlah aku!”
[6] Musuhku mengumpat aku. Mereka mahu aku mati dan dilupakan.
[7] Mereka yang mengunjungi aku tidak ikhlas; mereka mengumpulkan segala berita yang buruk tentang aku, lalu keluar dan menyebarkannya ke mana-mana.
[8] Semua orang yang membenci aku berbisik-bisik tentang diriku, mereka memikirkan yang paling buruk tentang aku.
[9] Mereka berkata, “Dia sakit teruk sekali dan tidak akan bangun dari katilnya lagi.”
[10] Bahkan sahabat karibku yang paling aku percayai, orang yang makan bersama-samaku, telah menentang aku.
[11] Kasihanilah aku, ya TUHAN, dan pulihkanlah kesihatanku, agar aku dapat membalas musuh-musuhku.
[12] Maka tahulah aku bahawa Engkau berkenan kepadaku, kerana musuhku tidak akan mengalahkan aku.
[13] Engkau akan menolong aku, kerana ketulusanku; Engkau membolehkan aku berada di hadirat-Mu selama-lamanya.
[14] Marilah kita memuji TUHAN, Allah umat Israel; pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya. Amin! Amin!