[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Oleh Daud.
[2] Selamatkanlah aku, ya Allah! Air sudah naik ke leherku;
[3] aku hampir tenggelam di lumpur yang dalam, dan tiada tempat berjejak; aku berada di air yang dalam, dan ombak pun hampir melemaskan aku.
[4] Aku letih berseru meminta pertolongan, dan kerongkongku sakit. Mataku pedih menantikan pertolongan-Mu.
[5] Orang yang membenci aku tanpa sebab, lebih banyak daripada rambut pada kepalaku. Musuhku memfitnah aku, mereka kuat dan mahu membunuh aku. Mereka memaksa aku menyerahkan barang-barang yang tidak aku curi.
[6] Ya Allah, dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu, Engkau tahu betapa bodohnya aku.
[7] Janganlah biarkan aku mendatangkan malu kepada orang yang berharap kepada-Mu, ya TUHAN Raja Yang Maha Kuasa! Janganlah biarkan aku mendatangkan aib kepada mereka yang menyembah Engkau, ya Allah umat Israel!
[8] Kerana Engkaulah, aku dikeji, dan diliputi perasaan malu.
[9] Aku bagaikan orang asing kepada saudara-saudaraku, seperti orang luar kepada keluargaku.
[10] Cintaku untuk Rumah-Mu berkobar-kobar seperti api; hinaan yang ditujukan kepada-Mu menimpa diriku.
[11] Aku merendahkan diri dengan berpuasa, tetapi manusia mencela aku.
[12] Ketika aku mengenakan pakaian perkabungan, mereka mentertawakan aku.
[13] Aku menjadi buah mulut di tempat orang berkumpul, dan nyanyian orang mabuk adalah tentang aku.
[14] Tetapi bagiku, aku akan berdoa kepada-Mu, ya TUHAN; kabulkanlah doaku, ya Allah, menurut waktu-Mu. Kabulkan doaku demi kasih-Mu yang besar, kerana Engkau menepati janji untuk menyelamatkan aku.
[15] Janganlah biarkan aku tenggelam di dalam lumpur; selamatkanlah aku daripada musuh-musuhku, dan daripada air yang dalam.
[16] Janganlah biarkan banjir menghanyutkan aku; janganlah biarkan aku tenggelam di dasar laut, ataupun terbenam di dalam kubur.
[17] Kabulkanlah doaku, ya TUHAN, kerana Engkau baik dan tetap mengasihi; dengan rahmat-Mu yang besar, berpalinglah kepadaku!
[18] Janganlah bersembunyi daripada hamba-Mu; aku dalam kesusahan besar - cepatlah tolong aku!
[19] Marilah dan selamatkanlah aku; bebaskanlah aku daripada musuhku.
[20] Engkau tahu bagaimana aku dikeji, bagaimana aku dipermalukan dan dihina; Engkau nampak semua musuhku.
[21] Kekejian telah mematahkan hatiku, aku menjadi putus asa. Aku mencari orang yang berbelas kasihan, tetapi tidak aku dapati; aku mencari orang yang menguatkan hatiku, tetapi tidak aku jumpai.
[22] Ketika aku lapar, mereka memberi aku racun sebagai makanan; ketika aku dahaga, mereka memberi aku cuka sebagai minuman.
[23] Biarlah jamuan mereka memerangkap mereka; biarlah perayaan mereka menjerat mereka.
[24] Biarlah mata mereka buta; biarlah tulang belakang mereka lemah.
[25] Biarlah kemurkaan-Mu menimpa mereka; biarlah berang-Mu menangkap mereka.
[26] Biarlah perkhemahan mereka terlantar; biarlah semua penghuninya binasa.
[27] Mereka menganiaya orang yang telah Engkau hukum; mereka menambahkan penderitaan orang yang Engkau lukakan.
[28] Catatlah semua dosa mereka; jangan ampuni mereka.
[29] Biarlah nama mereka dihapuskan dari kitab orang hidup, dan tidak tercatat dalam daftar umat-Mu.
[30] Tetapi aku kesakitan dan putus asa; angkatlah aku dan selamatkanlah aku, ya Allah!
[31] Aku akan memuji Allah dengan nyanyian; aku akan mengagungkan Dia dengan ucapan kesyukuran.
[32] Hal ini akan lebih menggembirakan TUHAN daripada mempersembahkan korban lembu, ataupun korban lembu jantan yang sudah cukup besar.
[33] Apabila orang yang ditindas melihat hal ini, mereka akan bergembira; orang yang menyembah Allah akan bersemangat.
[34] TUHAN mendengar orang yang berkekurangan, dan Dia tidak lupa akan umat-Nya yang dipenjarakan.
[35] Pujilah Allah, hai langit dan bumi, laut dan segala makhluk di dalamnya!
[36] Dia akan menyelamatkan Yerusalem, dan membina semula kota-kota Yehuda; umat-Nya akan tinggal di sana; negeri itu menjadi milik mereka.
[37] Keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi negeri itu, semua orang yang mengasihi-Nya akan tinggal di situ.