[1] Sebuah lagu. Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Mahalat Leanot. Sajak Heman, orang Ezrahi.
[2] Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkan aku, pada waktu siang aku berseru kepada-Mu, pada waktu malam aku datang ke hadapan-Mu.
[3] Dengarkanlah doaku; dengarkanlah seruanku minta tolong.
[4] Begitu banyak kesusahan menimpa aku; maut sudah di ambang pintu.
[5] Aku seperti orang yang menemui maut; segala kekuatanku sudah hilang.
[6] Aku ditinggalkan di tengah-tengah orang mati; aku umpama orang terbunuh yang terbaring di kubur, orang yang telah Engkau lupakan sama sekali, yang tidak dapat Engkau tolong lagi.
[7] Engkau telah membuang aku ke kubur yang dalam, ke dalam lubang yang paling gelap dan dalam.
[8] Engkau sangat murka kepadaku, kemurkaan-Mu bagaikan ombak yang memukul aku.
[9] Engkau menyebabkan rakan-rakanku meninggalkan aku; Engkau menyebabkan mereka jijik akan aku. Aku terkurung dan tidak dapat melarikan diri;
[10] mataku kabur kerana menderita. Ya TUHAN, setiap hari aku berseru kepada-Mu, aku berdoa dengan menadahkan tangan kepada-Mu.
[11] Adakah Engkau melakukan mukjizat bagi orang yang telah mati? Adakah mereka bangkit dan memuji Engkau?
[12] Adakah kasih-Mu disebut orang di dalam kubur, ataupun kesetiaan-Mu disebut di tempat kebinasaan?
[13] Adakah mukjizat-Mu kelihatan di tempat yang gelap itu, ataupun kebaikan-Mu kelihatan di negeri yang sudah dilupakan orang?
[14] Ya TUHAN, aku minta pertolongan-Mu; setiap pagi aku berdoa kepada-Mu.
[15] Ya TUHAN, mengapakah Engkau menolak aku? Mengapakah Engkau menyembunyikan diri-Mu daripadaku?
[16] Sejak kecil lagi aku menderita dan hampir mati; aku kehabisan tenaga menanggung hukuman-Mu.
[17] Kemurkaan-Mu yang hebat menimpa aku, serangan-Mu yang dahsyat membinasakan aku.
[18] Semuanya itu seperti banjir yang melanda aku sepanjang hari, dan mengepung aku dari segala arah.
[19] Engkau menyebabkan sahabat karibku meninggalkan aku; hanya kegelapan yang menemani aku.