Skip to content
Opens in a new window

[1] Mazmur puak Korah. Sajak. Untuk pemimpin koir.

[2] Ya Allah, kami sendiri telah mendengar kisah yang diceritakan oleh nenek moyang kami, tentang perbuatan besar yang Engkau lakukan pada zaman dahulu kala.

[3] Engkau sendiri mengusir bangsa-bangsa supaya umat-Mu menetap di negeri mereka; Engkau mencelakakan bangsa-bangsa lain, tetapi menjadikan umat-Mu makmur.

[4] Mereka tidak menakluki negeri ini dengan pedang; mereka tidak menang dengan kuasa mereka sendiri, tetapi dengan kuasa dan kekuatan serta hadirat-Mu, kerana Engkau berkenan kepada umat-Mu.

[5] Engkaulah Rajaku dan Allahku; Engkau memberikan kemenangan kepada umat-Mu.

[6] Dengan kuasa-Mu kami mengalahkan musuh kami, dan menakluki orang yang menyerang kami.

[7] Aku tidak bergantung kepada busur, atau pedang untuk menyelamatkan diri,

[8] kerana Engkaulah yang menyelamatkan kami, dan mengalahkan mereka yang membenci kami.

[9] Kami akan sentiasa memuji Engkau dan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.

[10] Tetapi sekarang, ya Allah, Engkau meninggalkan kami dan membiarkan kami dikalahkan; Engkau tidak lagi maju bersama dengan tentera kami.

[11] Engkau membuat kami lari daripada musuh, dan mereka merampas segala harta kami.

[12] Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba, Engkau mencerai-beraikan kami ke negeri asing.

[13] Engkau menjual umat-Mu dengan harga yang murah, tanpa mendapat keuntungan apa-apa.

[14] Engkau menjadikan kami ejekan jiran kami; mereka mengolok-olokkan dan mentertawakan kami.

[15] Engkau menjadikan kami ejekan bangsa-bangsa; mereka menggelengkan kepala dan mengumpat kami.

[16] Sepanjang hari aku dihina, dan diliputi perasaan malu,

[17] kerana mendengar sindiran dan hinaan yang dilemparkan oleh musuh dan pendendam.

[18] Semuanya menimpa kami walaupun kami tidak melupakan Engkau, ataupun memungkiri perjanjian-Mu dengan kami.

[19] Kami tidak pernah melawan Engkau; kami tidak pernah melanggar perintah-Mu.

[20] Tetapi Engkau meninggalkan kami yang lemah dengan binatang liar; Engkau meninggalkan kami dalam kegelapan yang gelita.

[21] Jika kami berhenti menyembah Allah kami, lalu menyembah tuhan lain,

[22] tentu Engkau akan mengetahuinya, kerana Engkau mengetahui rahsia hati manusia.

[23] Tetapi kerana Engkau, kami diancam maut setiap masa, kami diperlakukan seperti domba sembelihan.

[24] Bangunlah, ya Tuhan! Mengapakah Engkau tidur? Bangkitlah! Jangan tolak kami selama-lamanya!

[25] Mengapakah Engkau menyembunyikan diri? Jangan lupakan penderitaan dan kesusahan kami!

[26] Kami jatuh hancur di tanah, dan terbaring di atas debu kerana kalah.

[27] Bangkitlah dan tolonglah kami! Kerana kasih-Mu itu, selamatkanlah kami!

Mazmur — Chapters