[1] Doa Daud. Dengarlah seruanku, ya TUHAN, dan kabulkanlah doaku, kerana aku lemah dan tidak berdaya.
[2] Selamatkanlah aku daripada maut, kerana aku setia kepada-Mu; selamatkanlah aku, hamba-Mu yang percaya kepada-Mu.
[3] Engkaulah Allahku; kasihanilah aku; sepanjang hari aku berdoa kepada-Mu.
[4] Ya Tuhan, gembirakanlah hati hamba-Mu, kerana aku menaikkan doa kepada-Mu.
[5] Ya Tuhan, Engkau baik dan suka mengampuni orang, Engkau mengasihi mereka yang berdoa kepada-Mu.
[6] Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah aku minta pertolongan.
[7] Ketika aku dalam kesusahan, aku berseru kepada-Mu kerana Engkau mengabulkan doaku.
[8] Tiada tuhan yang seperti Engkau, ya Tuhan, tiada yang dapat melakukan apa yang Engkau lakukan.
[9] Semua bangsa yang telah Engkau cipta akan datang, ya Tuhan, untuk menyembah-Mu dan memuji kebesaran-Mu.
[10] Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib; hanya Engkaulah Allah.
[11] Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan aku akan menurutnya dengan setia; ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh.
[12] Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Tuhan, Allahku; aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya.
[13] Betapa besarnya kasih-Mu untukku; Engkau telah menyelamatkan aku dari kubur.
[14] Ya Allah, orang sombong datang melawan aku; sekumpulan orang kejam berusaha untuk membunuh aku; mereka tidak mempedulikan Engkau.
[15] Tetapi Engkau, ya Tuhan, Allah pengasih dan penyayang, sentiasa sabar, baik, dan setia.
[16] Pandanglah aku dan kasihanilah aku; kuatkanlah aku dan selamatkanlah aku, kerana aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu.
[17] Ya TUHAN, buktikanlah kebaikan-Mu kepadaku, maka mereka yang membenci aku akan tersipu-sipu, ketika melihat Engkau menghiburkan dan menolong aku.