[1] Mazmur puak Korah. Lagu kasih. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung.
[2] Hati hamba penuh dengan kata-kata yang indah semasa hamba menggubah lagu ini untuk raja; lidah hamba umpama batang pena seorang pujangga.
[3] Tuanku yang paling kacak antara manusia, titah tuanku penuh kebaikan, sebab itu, tuanku diberkati Allah selama-lamanya.
[4] Ikatkan pedang pada pinggang, hai raja perkasa, tuanku sungguh agung dan mulia!
[5] Majulah dengan kemuliaan menuju kemenangan, untuk membela kebenaran dan keadilan, dengan kekuatan tuanku, rebutlah kemenangan yang besar.
[6] Anak panah tuanku yang tajam akan menembusi jantung musuh; bangsa-bangsa akan rebah ke bawah kaki tuanku.
[7] Takhta yang dikurniakan Allah kepada tuanku akan kekal selama-lamanya. Tuanku memerintah rakyat dengan adil;
[8] tuanku mencintai perkara yang benar dan membenci perkara yang jahat. Oleh itu, Allah, Allah tuanku telah memilih tuanku, dan membahagiakan tuanku lebih daripada raja lain.
[9] Pakaian tuanku berbau mur, gaharu, dan cendana; pemuzik di istana gading membuat tuanku gembira.
[10] Antara wanita yang disayangi tuanku terdapat puteri-puteri, dan di sebelah kanan takhta tuanku berdiri permaisuri yang memakai perhiasan emas murni.
[11] Dengarlah kata-kata hamba, hai permaisuri, lupakanlah bangsa serta kerabat tuanku.
[12] Kecantikan tuanku memikat hati raja, tuanku milik baginda, taatlah kepada baginda.
[13] Rakyat Tirus akan membawa hadiah untuk tuanku, orang kaya akan mencuba mengambil hati tuanku.
[14] Puteri masuk dengan penuh seri, pakaiannya bersulam benang emas.
[15] Dengan pakaian berwarna-warni puteri dibawa menghadap raja, diiringi oleh anak-anak dara, yang juga dibawa menghadap raja.
[16] Dengan sorakan yang gembira, mereka masuk ke istana raja.
[17] Tuanku, raja hamba akan mempunyai banyak putera, untuk meneruskan kerajaan nenek moyang tuanku, dan tuanku akan menjadikan mereka pemerintah di seluruh dunia.
[18] Lagu hamba akan mengekalkan kemasyhuran tuanku turun-temurun, dan bangsa-bangsa akan memuji tuanku selama-lamanya.