[1] Sajak Asaf. Dengarlah ajaranku, hai umatku, dan perhatikanlah kata-kataku.
[2] Aku akan menggunakan kata-kata hikmat, dan menjelaskan rahsia zaman dahulu,
[3] perkara yang telah kita dengar dan ketahui, yang telah diberitahu oleh nenek moyang kita.
[4] Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak-anak kita, kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang kuasa TUHAN dan tindakan-Nya yang hebat, serta perbuatan ajaib yang telah dilakukan-Nya.
[5] Dia memberikan hukum kepada umat-Nya, Israel, dan perintah kepada keturunan Yakub. Dia memberikan amanah kepada nenek moyang kita supaya mengajarkan hukum-Nya kepada anak-anak mereka,
[6] supaya keturunan selanjutnya dapat mempelajarinya, dan kemudian memberitahunya kepada anak-anak mereka.
[7] Dengan demikian mereka juga akan berharap kepada Allah, dan tidak melupakan perbuatan-Nya, tetapi selalu taat kepada perintah-Nya.
[8] Mereka tidak akan menjadi seperti nenek moyang mereka, umat yang sentiasa memberontak dan tidak taat; iman mereka tidak pernah kukuh, dan mereka tidak setia kepada Allah.
[9] Orang Efraim yang bersenjatakan busur dan panah, melarikan diri pada masa pertempuran.
[10] Mereka tidak menepati perjanjian dengan Allah; mereka enggan taat kepada hukum-Nya.
[11] Mereka lupa akan segala perbuatan-Nya, mukjizat yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka.
[12] Di hadapan nenek moyang mereka, Allah melakukan mukjizat di dataran Zoan di negeri Mesir.
[13] Dia membelah laut dan memimpin mereka menyeberanginya; Dia membuat air tegak seperti tembok.
[14] Pada waktu siang Dia memimpin mereka dengan awan, dan pada waktu malam dengan cahaya api.
[15] Dia membelah bukit batu di gurun, dan memberi mereka air minum dari dasar bumi.
[16] Dia membuat air memancar dari batu, dan airnya mengalir seperti sungai.
[17] Tetapi mereka terus berdosa terhadap Allah, serta memberontak terhadap Yang Maha Tinggi di padang gurun.
[18] Mereka sengaja menguji Allah, mereka meminta makanan yang diinginkan.
[19] Mereka melawan Allah dengan berkata, “Dapatkah Allah menyediakan makanan di gurun?
[20] Memang benar Dia telah membelah bukit batu, dan air sederas sungai mengalir daripadanya; tetapi dapatkah Dia menyediakan roti bagi kita, dan memberikan daging bagi umat-Nya?”
[21] Itulah sebabnya, TUHAN murka ketika mendengar permintaan mereka; Dia menyerang umat-Nya dengan api, dan menjadi semakin murka terhadap mereka,
[22] kerana mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap-Nya, dan tidak percaya bahawa Dia dapat menyelamatkan mereka.
[23] Tetapi Allah berfirman kepada langit di atas, dan memberikan perintah supaya pintunya dibuka.
[24] Dia memberi mereka biji-bijian dari syurga, dengan menurunkan manna untuk makanan mereka.
[25] Demikianlah mereka makan makanan malaikat. Allah memberi mereka makanan berlimpah-limpah.
[26] Dia menyebabkan angin timur bertiup, dan dengan kuasa-Nya angin selatan berhembus.
[27] Untuk umat-Nya, Dia menurunkan burung, burung sebanyak pasir di pantai;
[28] burung jatuh di tempat perkhemahan mereka, di sekeliling tempat kediaman mereka.
[29] Lalu mereka makan hingga kenyang; Allah memberikan apa yang dikehendaki mereka.
[30] Tetapi nafsu mereka belum dipuaskan, dan sementara mereka makan,
[31] Allah naik murka terhadap mereka, dan membunuh orang Israel yang muda dan perkasa.
[32] Meskipun begitu, mereka masih terus berdosa, meskipun Allah melakukan mukjizat, mereka tidak percaya kepada-Nya.
[33] Oleh itu Allah mencabut nyawa mereka, dan memutuskan nafas mereka dengan tiba-tiba.
[34] Setiap kali Allah membunuh sebilangan daripada mereka, yang lain kembali kepada-Nya; mereka bertaubat dan berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya.
[35] Mereka ingat bahawa Allah pelindung mereka, bahawa Yang Maha Kuasa penyelamat mereka.
[36] Tetapi segala perkataan mereka itu dusta belaka, dan segala ucapan mereka bohong semata-mata.
[37] Mereka tidak setia kepada-Nya; mereka tidak berpegang kepada perjanjian dengan Allah.
[38] Tetapi Allah mengasihani umat-Nya. Dia mengampunkan dosa mereka dan tidak membinasakan mereka. Kerap kali Dia menahan kemarahan-Nya, dan tidak melepaskan kemurkaan-Nya.
[39] Dia ingat bahawa mereka hanya manusia fana, seperti angin yang bertiup lalu tiada.
[40] Betapa seringnya mereka memberontak terhadap-Nya di gurun; betapa kerapnya mereka menyedihkan hati-Nya!
[41] Berkali-kali mereka menguji Allah, dan menyakiti hati Yang Maha Suci, Allah umat Israel.
[42] Mereka lupa akan kuasa-Nya yang besar; dan waktu Allah menyelamatkan mereka daripada musuh,
[43] ketika Dia melakukan keajaiban-keajaiban di Mesir, dan mukjizat-mukjizat di dataran Zoan.
[44] Dia mengubah air sungai menjadi darah, sehingga orang Mesir tidak dapat minum airnya.
[45] Dia menghantar lalat untuk menyeksa orang Mesir, dan katak untuk merosakkan ladang mereka.
[46] Dia menghantar belalang untuk makan tanaman mereka, dan untuk memusnahkan ladang mereka.
[47] Dia memusnahkan pokok anggur mereka dengan hujan batu, dan pokok ara mereka dengan embun yang beku.
[48] Dia membunuh ternakan mereka dengan hujan batu, dan binatang mereka dengan kilat.
[49] Dia mencemaskan mereka, dengan melepaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala, bagaikan utusan yang mendatangkan maut.
[50] Dia tidak menahan kemurkaan-Nya atau membiarkan mereka hidup, tetapi Dia membunuh mereka dengan wabak.
[51] Dia membunuh anak lelaki sulung daripada semua keluarga orang Mesir.
[52] Kemudian seperti gembala, Allah memimpin umat-Nya dan membimbing mereka melalui gurun.
[53] Dia membimbing mereka dengan aman sehingga mereka tidak takut, tetapi musuh mereka mati lemas di dalam laut.
[54] Dia membawa umat-Nya ke tanah-Nya yang suci, ke gunung yang telah ditaklukkan-Nya sendiri.
[55] Dia mengusir penduduk di situ sedang umat-Nya mara, lalu membahagikan negeri itu kepada semua suku Israel, dan memberi mereka tempat kediaman musuh.
[56] Tetapi umat-Nya memberontak dan menguji Allah Yang Maha Kuasa; mereka tidak taat kepada perintah-perintah-Nya.
[57] Mereka memberontak dan berkhianat seperti nenek moyang mereka; seperti anak panah yang bengkok, mereka tidak boleh diharap.
[58] Mereka membuat Allah murka dengan tempat penyembahan berhala, dan menjadikan Dia marah dengan patung-patung berhala.
[59] Allah murka ketika melihat hal ini, lalu menolak umat-Nya sama sekali.
[60] Dia meninggalkan khemah-Nya di Silo, tempat kediaman-Nya di kalangan umat-Nya.
[61] Dia membiarkan musuh merebut Tabut Perjanjian, lambang kuasa dan kemuliaan-Nya.
[62] Dia murka terhadap umat-Nya sendiri, dan membiarkan mereka dibunuh oleh musuh mereka.
[63] Teruna terbunuh dalam peperangan, dan anak dara tidak mendapat pasangan.
[64] Imam dibunuh dengan pedang, dan balu mereka tidak dibenarkan meratap.
[65] Akhirnya Tuhan bangun seolah-olah daripada tidur; Dia bersemangat seperti orang kuat yang sudah minum wain.
[66] Dia memukul mundur musuh-musuh-Nya, dan mempermalukan mereka selama-lamanya;
[67] tetapi Dia menolak keturunan Yusuf; Dia tidak memilih suku Efraim.
[68] Sebaliknya Dia memilih suku Yehuda dan Bukit Sion yang sangat dikasihi-Nya.
[69] Di sana Dia mendirikan Rumah-Nya seperti kediaman-Nya di syurga, dan seperti bumi, kukuh selama-lamanya.
[70] Dia memilih hamba-Nya, Daud, dan mengambil dia dari padang rumput,
[71] dari tempat dia menjaga ternakan, dan menjadikan dia raja Israel untuk menggembalakan umat Allah.
[72] Daud menjaga mereka dengan penuh perhatian, dan membimbing mereka dengan kecekapan.