Skip to content
Opens in a new window

[1] Mazmur Daud, ketika mempersembahkan korban peringatan.

[2] Ya TUHAN, jangan hukum aku walaupun Engkau murka.

[3] Panah-Mu melukai tubuhku; tangan-Mu memukul aku.

[4] Aku sakit parah kerana kemarahan-Mu; seluruh badanku sakit kerana dosaku.

[5] Aku lemas dalam banjir dosaku; dosaku terlalu berat bagiku.

[6] Kerana perbuatanku yang bodoh, luka-lukaku bernanah dan busuk.

[7] Aku menjadi bongkok, aku tersungkur; aku berdukacita sepanjang hari.

[8] Demam membakar badanku, dan aku sakit tenat.

[9] Aku remuk-redam dan kehabisan tenaga; aku mengeluh kerana hatiku susah.

[10] Ya Tuhan, Engkau tahu keinginanku; Engkau mendengar segala keluhanku.

[11] Jantungku berdebar-debar, tenagaku hilang, dan mataku sudah menjadi suram.

[12] Sahabat dan jiranku tidak mahu menghampiri aku kerana kudisku; bahkan keluargaku pun turut menjauhi aku.

[13] Orang yang hendak membunuh aku memasang perangkap untukku, dan mereka yang ingin menyakiti aku mengancam hendak membinasakan aku; sepanjang hari mereka berkomplot menentang aku.

[14] Aku umpama orang pekak yang tidak dapat mendengar, umpama orang bisu yang tidak dapat bercakap.

[15] Aku umpama orang yang tidak menjawab, kerana tidak dapat mendengar.

[16] Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; dan Engkau, ya Tuhan, Allahku, akan mengabulkan doaku.

[17] Jangan biarkan musuhku mentertawakan penderitaanku; jangan biarkan mereka berasa megah kerana kejatuhanku!

[18] Aku hampir jatuh, dan sentiasa kesakitan.

[19] Aku mengakui dosaku; hatiku cemas memikirkan kesalahanku.

[20] Musuh-musuhku sihat dan kuat; banyak orang yang membenci aku tanpa sebab.

[21] Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan, menentang aku kerana aku berusaha melakukan yang benar.

[22] Jangan tinggalkan aku, ya TUHAN, jangan jauhi aku, ya Allahku!

[23] Tolonglah aku sekarang, ya Tuhan penyelamatku!

Mazmur — Chapters