[1] Lagu. Mazmur Daud.
[2] Aku yakin kepada-Mu, ya Allah! Aku akan menyanyi dan memuji Engkau! Bangunlah, hai jiwaku!
[3] Bangunlah, hai gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan matahari!
[4] Ya TUHAN, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa. Aku akan memuji Engkau antara umat manusia.
[5] Kasih-Mu lebih tinggi daripada langit, dan kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi.
[6] Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi!
[7] Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu, dan kabulkanlah doaku, supaya umat yang Engkau kasihi diselamatkan.
[8] Dari tempat kediaman-Nya yang suci Allah berfirman, “Aku akan bersorak dan membahagi-bahagikan tanah Sikhem, dan mengagihkan Lembah Sukot kepada umat-Ku.
[9] Gilead dan Manasye adalah kepunyaan-Ku, Efraim topi besi-Ku, dan Yehuda tongkat pemerintahan-Ku.
[10] Tetapi Aku menggunakan Moab sebagai tempat pembasuhan-Ku; Aku melemparkan kasut kepada Edom, sebagai tanda bahawa Edom milik-Ku; Aku akan bersorak kerana kemenangan atas orang Filistin.”
[11] Siapakah yang akan membawa aku ke dalam kota yang berkubu itu? Siapakah yang akan memimpin aku ke Edom?
[12] Ya Allah, adakah Engkau telah menolak kami? Tidakkah Engkau mara bersama-sama tentera kami?
[13] Tolonglah kami melawan musuh, kerana pertolongan manusia tidak berguna.
[14] Bersama dengan Allah, kita akan berjaya; Dialah yang akan mengalahkan musuh kita.