[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Rusa di Kala Fajar. Mazmur Daud.
[2] Allahku, ya Allahku, mengapakah Engkau meninggalkan aku? Aku berseru tetapi Engkau tetap jauh, dan tidak menolong aku.
[3] Pada siang hari aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak menyahut; aku berseru pada waktu malam, namun tidak juga mendapat ketenteraman.
[4] Tetapi Engkau Raja Yang Maha Suci, yang dipuji oleh Israel.
[5] Kepada-Mu nenek moyang kami percaya; mereka percaya kepada-Mu dan Engkau menyelamatkan mereka.
[6] Mereka berseru kepada-Mu dan Engkau menjauhkan mereka daripada bahaya; mereka percaya kepada-Mu dan tidak dikecewakan.
[7] Tetapi aku ini ulat, bukan manusia, yang dihina dan dicaci semua orang.
[8] Semua orang yang melihat aku mempermainkan aku; mereka menjelirkan lidah dan menggelengkan kepala.
[9] Mereka berkata, “Kamu percaya kepada TUHAN, tetapi mengapakah Dia tidak menyelamatkan kamu? Jika TUHAN mengasihi kamu, mengapakah Dia tidak menolong kamu?”
[10] Engkaulah, ya TUHAN, yang mengeluarkan aku dari kandungan ibuku, dan ketika aku masih bayi, Engkaulah yang memelihara aku.
[11] Sejak lahir, aku bergantung kepada-Mu; sejak dalam kandungan, Engkaulah Allahku.
[12] Janganlah jauhkan diri daripadaku. Kesusahan sudah dekat, dan tiada sesiapa pun yang membantu.
[13] Banyak musuh yang mengepung aku; mereka semua mengelilingi aku, seperti kerbau hutan dari negeri Basan.
[14] Mereka mengangakan mulut seperti singa, hendak mengaum dan menerkam aku.
[15] Tenagaku hilang, hilang seperti air yang tumpah. Semua tulangku terkehel; hatiku meleleh seperti lilin.
[16] Kerongkongku kering seperti debu, dan lidahku melekat di lelangit. Engkau tinggalkan aku di atas debu, seperti orang yang sudah mati.
[17] Sekumpulan orang jahat mengelilingi aku; seperti sekumpulan anjing, mereka mengepung aku; mereka menyiat tangan serta kakiku.
[18] Semua tulangku kelihatan. Musuh memandang aku sebagai tontonan;
[19] mereka membahagi-bahagikan pakaianku dan membuang undi untuk jubahku.
[20] Ya TUHAN, janganlah jauhkan diri daripadaku, cepatlah datang untuk menolong aku.
[21] Selamatkanlah aku daripada pedang; selamatkanlah aku daripada cengkaman anjing.
[22] Aku tidak berdaya, lepaskanlah aku dari tanduk kerbau dan dari mulut singa.
[23] Aku akan memberitahu rakyatku tentang perbuatan-Mu; dalam perhimpunan mereka aku akan memuji-Mu.
[24] Pujilah Dia, hai hamba-hamba TUHAN! Hormatilah Dia, hai keturunan Yakub; sembahlah Dia, hai umat Israel!
[25] Dia tidak memandang hina kepada orang tertindas ataupun mengabaikan penderitaan mereka; Dia tidak menjauhkan diri-Nya daripada mereka, tetapi mendengar apabila mereka meminta pertolongan-Nya.
[26] Dalam perhimpunan besar umat-Mu, aku akan memuji Engkau kerana segala yang telah Engkau lakukan; di hadapan semua orang yang menyembah Engkau aku akan mempersembahkan korban yang aku janjikan.
[27] Orang miskin akan makan dengan puas hati; mereka yang datang kepada TUHAN akan memuji Dia. Semoga mereka makmur selama-lamanya!
[28] Semua bangsa akan mengingat TUHAN dan kembali kepada-Nya; semua suku bangsa akan menyembah Dia.
[29] TUHAN itulah raja dan Dia memerintah semua bangsa.
[30] Semua orang yang sombong akan sujud kepada-Nya; semua insan akan berlutut di hadapan-Nya.
[31] Keturunan yang akan datang juga akan berbakti kepada-Nya; manusia akan menceritakan Tuhan kepada keturunan mereka.
[32] Generasi yang akan datang akan diberitahu bahawa TUHAN telah menyelamatkan umat-Nya.