[1] Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Pujilah nama-Nya yang suci, hai segenap batinku!
[2] Pujilah TUHAN, hai jiwaku, dan jangan lupa akan kebaikan-Nya.
[3] Dia mengampunkan segala dosaku, dan menyembuhkan segala penyakitku;
[4] Dia menyelamatkan aku daripada kematian dan memberkati aku dengan kasih dan rahmat;
[5] Dia memuaskan hidupku dengan segala yang baik, sehingga aku tetap muda dan kuat seperti burung helang.
[6] TUHAN membela orang yang tertindas dan bertindak dengan adil.
[7] Dia menyatakan rancangan-Nya kepada Musa, dan perbuatan-Nya kepada bangsa Israel.
[8] TUHAN pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih.
[9] Dia tidak selalu murka, Dia tidak selalu menaruh dendam.
[10] Dia tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita, Dia tidak membalas kita setimpal dengan kesalahan kita.
[11] Tetapi setinggi langit dari bumi, setinggi itu juga kasih-Nya kepada orang yang menghormati-Nya.
[12] Sejauh timur dari barat, sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita.
[13] Seperti seorang bapa mengasihani anak-anaknya, begitulah TUHAN mengasihani orang yang menghormati-Nya.
[14] Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka.
[15] Manusia bagaikan rumput, yang tumbuh dan mengembang seperti bunga di padang.
[16] Apabila ditiup angin, bunga pun hilang, tiada orang melihatnya lagi.
[17] Tetapi TUHAN tetap mengasihi orang yang menghormati Dia, dan kebaikan-Nya berlangsung selama-lamanya,
[18] bagi mereka yang setia kepada perjanjian-Nya, dan mentaati perintah-Nya.
[19] TUHAN membina takhta-Nya di syurga; Dia raja yang menguasai semuanya.
[20] Pujilah TUHAN, hai malaikat-malaikat yang kuat dan perkasa, yang mendengar dan melakukan perintah-Nya!
[21] Pujilah TUHAN, hai semua tentera syurga, hai kamu yang melakukan kehendak-Nya!
[22] Pujilah TUHAN, hai semua ciptaan di seluruh tempat Dia memerintah. Pujilah TUHAN, hai jiwaku!