Skip to content
Opens in a new window

[1] Pujilah TUHAN! Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Allah kita; memang elok dan patut kita memuji Dia.

[2] TUHAN sedang memulihkan Yerusalem; Dia sedang membawa orang Israel kembali dari pembuangan.

[3] Dia menyembuhkan orang yang hancur hati, dan membalut luka mereka.

[4] Dia telah menentukan jumlah bintang, dan memberikan nama setiap bintang.

[5] Sungguh agung dan perkasa Tuhan kita; kebijaksanaan-Nya tidak terhingga.

[6] Dia memberikan kuasa kepada orang yang tertindas, tetapi Dia mengalahkan dan mempermalukan orang jahat.

[7] Nyanyikanlah lagu pujian untuk TUHAN, dan mainkanlah kecapi untuk Allah kita.

[8] Dia membentangkan awan di langit; Dia menurunkan hujan ke bumi, dan menumbuhkan rumput di bukit.

[9] Dia memberikan makanan kepada binatang, dan kepada anak burung gagak yang menciap-ciap.

[10] Dia tidak suka akan kuda yang kuat, ataupun askar yang berani;

[11] tetapi Dia suka akan orang yang menghormati-Nya, orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal.

[12] Pujilah TUHAN, hai Yerusalem! Pujilah Allahmu, hai Sion!

[13] Dia menguatkan pintu gerbangmu; Dia memberkati umatmu.

[14] Dia menjaga keamanan negerimu dan memuaskan engkau dengan gandum yang terbaik.

[15] Dia memberikan perintah kepada bumi, dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera.

[16] Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut, Dia menghamburkan embun beku seperti menghamburkan debu.

[17] Dia menurunkan hujan batu seperti kerikil; tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu.

[18] Kerana firman-Nya, air batu menjadi cair; Dia meniupkan angin, maka air pun mengalir.

[19] Dia memberikan firman-Nya kepada umat-Nya, peraturan dan hukum-Nya kepada Israel.

[20] Dia tidak berbuat demikian bagi bangsa lain; mereka tidak mengenal hukum-Nya. Pujilah TUHAN!

Mazmur — Chapters