Skip to content
Opens in a new window

[1] Sajak Daud, ketika dia berada di dalam gua.

[2] Aku berseru kepada TUHAN, aku merayu kepada-Nya meminta bantuan.

[3] Aku mengemukakan segala aduanku kepada-Nya; aku memberitahukan segala kesusahanku kepada-Nya.

[4] Apabila aku putus asa, Dia tahu apa yang harus aku lakukan. Di jalan yang harus aku tempuh, musuhku telah memasang perangkap untukku.

[5] Aku melihat ke sampingku, tiada sesiapa pun yang dapat menolong aku; tiada seorang pun yang melindungi aku. Tiada seorang pun yang mempedulikan aku.

[6] Ya TUHAN, aku berseru minta tolong kepada-Mu, Engkaulah pelindungku, Engkau sahaja yang aku perlukan dalam hidup ini.

[7] Dengarlah seruanku minta tolong, kerana aku tidak berdaya. Selamatkanlah aku daripada musuhku; mereka terlalu kuat bagiku.

[8] Lepaskanlah aku daripada kesusahan, maka dalam perhimpunan umat-Mu, aku akan memuji-Mu, kerana Engkau telah berbuat baik kepadaku.

Mazmur — Chapters