Skip to content
Opens in a new window

[1] Mazmur Daud.

[2] Aku berlindung pada-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Engkau Allah yang adil; selamatkanlah aku.

[3] Dengarlah aku! Selamatkanlah aku dengan segera! Jadilah penaungku untuk melindungi aku, dan pembelaku untuk menyelamatkan aku.

[4] Engkaulah penaungku dan pembelaku; bimbinglah aku menurut janji-Mu.

[5] Selamatkanlah aku daripada perangkap yang dipasang untukku; Engkaulah tempat perlindunganku.

[6] Aku serahkan diriku kepada jagaan-Mu. Engkau akan menyelamatkan aku, ya TUHAN, Allah yang setia.

[7] Engkau membenci orang yang menyembah berhala, tetapi aku percaya kepada TUHAN.

[8] Aku akan bergembira dan bergirang, kerana Engkau tetap mengasihi aku. Engkau nampak penderitaanku; Engkau tahu kesusahanku.

[9] Engkau tidak membenarkan aku ditawan musuh; Engkau membolehkan aku berjalan dengan bebas.

[10] Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku dalam kesusahan; mataku pedih kerana menangis; jiwa ragaku merana.

[11] Kedukaan telah menyingkatkan hidupku, dan tangisan telah memendekkan umurku. Kesihatanku merosot kerana kesusahanku, bahkan tulangku menjadi rapuh.

[12] Semua musuhku mentertawakan aku; jiran-jiranku menghina aku; mereka yang mengenal aku takut akan aku; mereka lari apabila nampak aku di jalan.

[13] Aku dilupakan seolah-olah aku sudah mati; aku umpama barang terbuang.

[14] Aku mendengar bisikan musuhku; perkara dahsyat terdapat di sekelilingku. Mereka berkomplot menentang aku, dan merancang hendak membunuh aku.

[15] Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; Engkaulah Allahku.

[16] Aku sentiasa berada dalam jagaan-Mu; selamatkanlah aku daripada musuhku dan daripada mereka yang menganiaya aku.

[17] Semoga Engkau berkenan kepada hamba-Mu; selamatkanlah aku demi kasih-Mu.

[18] Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; jangan biarkan aku dipermalukan. Biarlah orang jahat dipermalukan, dan turun ke alam maut dengan senyap.

[19] Biarlah pembohong menjadi kelu, kerana mereka sombong dan menghina orang jujur.

[20] Betapa limpahnya kebaikan-Mu yang Engkau sediakan untuk orang yang menghormati Engkau. Setiap orang melihat kebaikan yang Engkau lakukan bagi mereka yang berlindung kepada-Mu.

[21] Engkau menyembunyikan mereka di tempat hadirat-Mu, yang selamat daripada komplot manusia; Engkau menyembunyikan mereka di tempat perlindungan yang selamat daripada hinaan musuh mereka.

[22] Terpujilah TUHAN! Sangat mengagumkan kasih-Nya bagiku, ketika aku dikepung dan diserang oleh musuh.

[23] Aku takut dan menyangka bahawa TUHAN telah mengusir aku dari hadirat-Nya. Tetapi Dia telah mendengar seruanku, ketika aku minta pertolongan-Nya.

[24] Kasihilah TUHAN, hai semua umat-Nya yang setia. TUHAN melindungi orang yang setia, tetapi menghukum orang yang sombong.

[25] Kuatkanlah dan teguhkanlah hati kamu, kamu semua yang berharap kepada TUHAN.

Mazmur — Chapters