[1] Mazmur Asaf. Allah sungguh baik kepada umat Israel, kepada mereka yang berhati murni.
[2] Tetapi hatiku bimbang, imanku hampir hilang,
[3] kerana aku cemburu terhadap orang sombong, ketika aku melihat orang jahat menjadi makmur.
[4] Mereka tidak sakit; mereka kuat dan sihat.
[5] Mereka tidak menanggung penderitaan, tidak ditimpa kesusahan seperti orang lain.
[6] Oleh itu mereka bersikap sombong, dan selalu bertindak dengan ganas;
[7] hati mereka penuh dengan kejahatan, dan fikiran mereka sibuk dengan rancangan kejam.
[8] Mereka mentertawakan orang lain dan mengatakan yang jahat, mereka sombong dan merancang untuk menindas orang.
[9] Mereka mengeji Allah yang di syurga, dan bercakap dengan sombong kepada manusia di bumi,
[10] sehingga umat Allah pun mendengarkan mereka dan yakin akan segala yang diucapkan mereka.
[11] Mereka berkata, “Pasti Allah tidak tahu akan apa yang berlaku; Yang Maha Tinggi tidak akan mengetahui perbuatan kita.”
[12] Begitulah keadaan orang jahat; hidup mereka senang dan harta mereka terus bertambah.
[13] Sia-sia sahaja aku menjaga hatiku supaya suci, tiada gunanya aku menjauhi dosa.
[14] Ya Allah, sepanjang hari aku menderita; setiap pagi aku diseksa.
[15] Sekiranya aku berkata begitu, aku mengkhianati umat-Mu.
[16] Aku cuba memahami hal itu, tetapi terlalu sukar bagiku,
[17] sehingga aku masuk ke dalam Rumah-Mu, barulah aku memahami kesudahan semua orang jahat itu.
[18] Engkau pasti meletakkan mereka di tempat-tempat yang licin dan menyebabkan mereka jatuh dan binasa.
[19] Mereka dibinasakan dengan serta-merta; sungguh dahsyat kesudahan mereka.
[20] Mereka umpama mimpi yang menghilang pada waktu pagi, ketika Engkau bangkit, ya Tuhan, mereka pun lenyap.
[21] Ketika aku sakit hati, dan perasaanku dilukai,
[22] aku bodoh seperti binatang; aku tidak faham akan kehendak-Mu.
[23] Namun aku tetap di samping-Mu, dan Engkau memegang tangan kananku.
[24] Engkau membimbing aku dengan nasihat, dan kelak Engkau menyambut aku dengan kehormatan.
[25] Siapa lagi yang aku miliki di syurga kecuali Engkau? Tiada lagi yang aku ingini di bumi ini selain Engkau.
[26] Sekalipun jiwa ragaku menjadi lemah, Engkaulah kekuatanku, ya Allah; hanya Engkau yang aku perlukan selama-lamanya.
[27] Orang yang meninggalkan Engkau pasti musnah, Engkau akan membinasakan mereka yang tidak setia kepada-Mu.
[28] Tetapi bagiku, sungguh baik berada di samping Allah. Aku mendapat perlindungan daripada TUHAN Raja, dan aku akan memberitakan segala perbuatan-Nya.