[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.
[2] Aku dalam kesusahan, ya Allah - dengarlah doaku! Aku takut kepada musuhku - selamatkanlah aku!
[3] Lindungilah aku daripada komplot orang derhaka, dan daripada rusuhan orang durjana.
[4] Lidah mereka setajam pedang, kata-kata mereka berbisa seperti anak panah beracun.
[5] Mereka menyebarkan dusta dari tempat persembunyian; mereka membinasakan orang baik dengan fitnah.
[6] Mereka menggalakkan sesama sendiri untuk melakukan yang jahat; mereka berunding tentang tempat memasang perangkap; mereka menyangka tiada orang yang melihat.
[7] Mereka membuat rancangan jahat dan berkata, “Kita telah merancang jenayah yang licik sekali.” Sungguh dalamnya hati serta fikiran manusia, sehingga tidak dapat diselami.
[8] Tetapi Allah melepaskan anak panah-Nya terhadap mereka, dan dengan serta-merta mereka cedera.
[9] Dia akan membinasakan mereka kerana kata-kata mereka; semua orang yang melihat mereka akan menggelengkan kepala.
[10] Mereka akan ketakutan; mereka memikirkan tindakan Allah, dan memberitakan perbuatan-Nya.
[11] Semua orang baik akan bergirang kerana perbuatan TUHAN; mereka akan mendapat perlindungan daripada-Nya; semua orang yang tulus akan memuji Dia.