Skip to content
Opens in a new window

[1] Sajak Asaf. Mengapakah Engkau meninggalkan kami begini, ya Allah? Murkakah Engkau kepada umat-Mu selama-lamanya?

[2] Ingatlah umat yang Engkau pilih sejak dahulu, bangsa yang Engkau bebaskan daripada perhambaan untuk menjadi umat-Mu. Ingatlah akan Bukit Sion, tempat kediaman-Mu dahulu.

[3] Datanglah ke tempat yang sudah habis binasa ini; segala yang ada di dalam Rumah-Mu telah dimusnahkan musuh kami.

[4] Musuh-Mu bersorak-sorak di Rumah-Mu; mereka mengibarkan panji-panji kemenangan di situ.

[5] Mereka kelihatan seperti penebang kayu yang menebang pokok dengan kapak.

[6] Mereka menghancurkan segala tembok kayu dengan kapak dan palu.

[7] Mereka membakar Rumah-Mu sampai musnah; mereka menajiskan tempat Engkau disembah.

[8] Mereka berniat menghancurkan kami sama sekali; mereka membakar segala tempat ibadat di negeri ini.

[9] Nabi-nabi dan tanda-tanda ajaib tidak kelihatan lagi, dan tiada seorang pun yang tahu sampai bila keadaan terus begini.

[10] Sampai bilakah, ya Allah, musuh kami mengejek Engkau? Adakah sampai selamanya mereka menghina Engkau?

[11] Mengapakah Engkau enggan menolong kami? Mengapakah Engkau tidak melakukan apa-apa untuk membantu kami?

[12] Tetapi ya Allah, sejak dahulu kala Engkaulah raja kami; Engkau selalu memberi kami kemenangan di negeri ini.

[13] Dengan kekuatan yang hebat Engkau membelah laut dan meremukkan kepala makhluk-makhluk laut.

[14] Engkau menghancurkan kepala-kepala Lewiatan, dan memberikan bangkainya kepada haiwan gurun sebagai makanan.

[15] Engkau membuat mata air dan sungai mengalir; Engkau mengeringkan sungai-sungai yang besar.

[16] Engkau mencipta siang dan malam; Engkau menentukan tempat matahari dan bulan;

[17] Engkau menentukan batas-batas bumi; Engkau mencipta musim panas dan musim sejuk.

[18] Tetapi ingatlah, ya TUHAN, bagaimana musuh-Mu mentertawakan Engkau; mereka tidak mengenal Engkau dan mereka menghina Engkau.

[19] Jangan serahkan umat-Mu yang tidak berdaya kepada musuh yang kejam; jangan lupa akan umat-Mu yang dianiaya!

[20] Ingatlah perjanjian yang telah Engkau buat dengan kami, kerana terdapat keganasan di segala tempat gelap di negeri ini.

[21] Jangan biarkan orang yang tertindas dipermalukan, semoga orang yang miskin dan melarat memberi Engkau pujian.

[22] Bangkitlah, ya Allah, dan belalah perkara-Mu kerana sepanjang hari Engkau dihina oleh bangsa yang tidak mengenal Engkau.

[23] Jangan lupakan teriakan musuh-Mu yang marah, keriuhan mereka yang tidak sudah-sudah.

Mazmur — Chapters