[1] Mengapakah bangsa-bangsa membuat huru-hara dan rakyat merancangkan yang sia-sia?
[2] Raja-raja dunia memberontak, para pemerintah berkomplot menentang TUHAN dan raja pilihan-Nya.
[3] Mereka berkata, “Marilah kita bebaskan diri daripada kekuasaan mereka, marilah kita gulingkan pemerintahan mereka.”
[4] Dari takhta-Nya di syurga TUHAN tertawa dan mencemuh rancangan mereka.
[5] Dia menegur mereka dengan marah, dan menakutkan mereka dengan kemurkaan-Nya.
[6] Dia berfirman, “Di Sion, bukit-Ku yang suci, Aku telah menabalkan raja-Ku.”
[7] Raja bertitah, “Aku akan mengumumkan apa yang dinyatakan oleh TUHAN. Dia berfirman kepadaku, ‘Engkaulah anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapamu.
[8] Mintalah, maka semua bangsa akan Kuberi kepadamu, dan seluruh bumi akan Kujadikan milikmu.
[9] Engkau akan menghancurkan mereka dengan pemerintahan tangan besi; engkau akan menghancurkan mereka seperti periuk tanah.’ ”
[10] Bertindaklah dengan bijak, hai raja-raja; dengarlah amaran ini, hai pemerintah dunia!
[11] Berbaktilah kepada TUHAN dengan hormat;
[12] bersujudlah di hadapan-Nya dengan gementar; jangan sampai TUHAN murka lalu kamu dibinasakan dengan tiba-tiba kerana cepat sekali kemurkaan-Nya menyala. Berbahagialah semua orang yang berlindung kepada-Nya!