Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Dengan iringan suling. Mazmur Daud.

[2] Ya TUHAN, dengarkanlah kata-kataku, dengarkanlah keluhanku.

[3] Ya Allahku, Rajaku, dengarlah rintihanku dan tolonglah aku. Aku berdoa kepada-Mu, ya TUHAN;

[4] pada waktu pagi Engkau mendengar suaraku; ketika matahari terbit aku mempersembahkan doaku, dan menanti-nantikan jawapan-Mu.

[5] Ya Allah, Engkau tidak suka akan perbuatan jahat; Engkau tidak membenarkan orang jahat berada di hadirat-Mu.

[6] Engkau tidak tahan melihat orang sombong; Engkau membenci semua orang jahat.

[7] Engkau memusnahkan semua pembohong, dan menghina pengganas dan penipu.

[8] Tetapi demi kasih-Mu yang besar, aku dapat masuk ke Rumah-Mu. Aku boleh menyembah Engkau di dalam Rumah-Mu yang suci, dan bersujud di hadapan-Mu dengan hormat.

[9] Ya TUHAN, amat banyak musuhku; pimpinlah aku melakukan kehendak-Mu, dan tunjukkanlah jalan-Mu yang harus aku tempuh.

[10] Kata-kata musuhku tidak boleh dipercayai; rancangan mereka jahat sekali; kata-kata mereka manis memikat, tetapi penuh dengan niat jahat.

[11] Hukumlah mereka, ya Allah; biarlah mereka celaka kerana rancangan mereka sendiri. Usirlah mereka kerana dosa mereka yang banyak itu serta pemberontakan mereka terhadap-Mu.

[12] Semoga semua orang yang berlindung kepada-Mu gembira; dan bernyanyi dengan sukacita selama-lamanya. Lindungilah mereka yang mengasihi Engkau, supaya mereka sungguh berbahagia kerana Engkau.

[13] Engkau memberkati mereka yang taat kepada-Mu, ya TUHAN; kasih-Mu melindungi mereka seperti perisai.

Mazmur — Chapters