[1] Mazmur Daud, semasa dia di padang gurun Yehuda.
[2] Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku rindu akan Engkau. Seperti tanah tandus haus akan air, begitulah aku haus akan Engkau.
[3] Izinkanlah aku melihat Engkau di Rumah-Mu, serta melihat kuasa dan kemuliaan-Mu.
[4] Kasih-Mu lebih berharga daripada hidup, oleh itu aku memuji Engkau.
[5] Aku bersyukur kepada-Mu seumur hidupku; aku menadahkan tangan kepada-Mu sambil berdoa.
[6] Jiwaku dijamu dan dipuaskan, dan aku akan menyanyikan lagu-lagu pujian untuk-Mu.
[7] Waktu aku berbaring di katil, aku ingat akan Engkau; sepanjang malam aku merenungkan Engkau,
[8] kerana Engkau sentiasa menolong aku; aku menyanyi dengan riang di bawah naungan sayap-Mu.
[9] Aku berpaut kepada-Mu, tangan-Mu yang kuat menopang aku.
[10] Orang yang cuba membunuh aku akan turun ke dunia orang mati;
[11] mereka akan dibunuh dalam pertempuran, dan mayat mereka dimakan serigala.
[12] Raja akan bersukacita kerana Allah memberi raja kemenangan; semua orang yang berjanji demi Allah akan bergembira, tetapi suara pendusta akan disenyapkan.