[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Untuk Yedutun.
[2] Aku berkata, “Aku akan berhati-hati dengan perbuatanku, dan tidak akan berdosa dengan lidahku. Aku tidak akan berkata apa-apa selama orang jahat berada di sisiku.”
[3] Aku diam membatu, tidak berkata sepatah pun, walaupun tentang perkara yang baik. Tetapi penderitaanku bertambah berat,
[4] dan hatiku penuh kecemasan. Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku; lalu aku bertanya,
[5] “Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.”
[6] Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan! Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas,
[7] hidup mereka berlalu seperti bayangan. Segala perbuatan mereka sia-sia; mereka mengumpulkan harta, tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya.
[8] Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan? Aku berharap kepada-Mu.
[9] Selamatkanlah aku daripada segala dosaku, dan jangan biarkan aku menjadi ejekan orang dungu.
[10] Aku diam dan tidak membuka mulutku, kerana inilah perbuatan-Mu.
[11] Janganlah hukum aku lagi, aku hampir mati kerana pukulan-Mu.
[12] Engkau menghukum dosa manusia dengan teguran-Mu, dan seperti gegat, Engkau memusnahkan kesukaan mereka. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas sahaja.
[13] Dengarlah doaku, ya TUHAN, dan sambutlah rayuanku; janganlah diam ketika aku menangis. Aku menjadi tetamu-Mu hanya untuk sementara, seperti nenek moyangku.
[14] Janganlah ganggu aku supaya aku dapat sedikit kebahagiaan, sebelum aku meninggal dan tiada lagi.