[1] Marilah, marilah kita menyanyi untuk Tuhan; marilah kita bersorak riang untuk Batu Pejal penyelamatan kita.
[2] Marilah kita pergi ke hadirat-Nya sambil mengucap syukur, marilah kita bersorak riang untuk-Nya dengan mazmur.
[3] Kerana Tuhan ialah Allah Yang Maha Besar, Raja besar di atas semua tuhan.
[4] Dalam tangan-Nya tempat-tempat dalam di bumi, bukit-bukau yang tinggi juga milik-Nya.
[5] Laut milik-Nya kerana Dia yang menjadikannya, dan tangan-Nya membentuk daratan yang kering.
[6] Marilah, marilah kita menyembah dan tunduk, marilah kita berlutut di hadapan Tuhan Pencipta kita;
[7] kerana Dia Allah kita dan kita umat-Nya, kawanan domba di bawah tangan-Nya. Hari ini, jika kamu mahu dengar suara-Nya,
[8] janganlah keraskan hatimu, seperti di Meriba, seperti pada hari di Masa di padang gurun,
[9] ketika nenek moyangmu menguji-Ku, mereka mencuba-Ku meski mereka telah melihat perbuatan-Ku.
[10] Selama empat puluh tahun Aku berdukacita dengan keturunan itu; dan Aku berkata, "Kaum ini sesat dalam hatinya, dan tidak mengenal jalan-Ku."
[11] Oleh itu, Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, "Mereka tidak akan masuk dalam rehat-Ku."