[1] Diberkatilah orang yang tidak tercela jalannya, yang melangkah menurut hukum Tuhan.
[2] Diberkatilah mereka yang mematuhi peraturan-Nya yang mencari-Nya dengan sepenuh hati.
[3] Mereka juga tidak melakukan dosa; mereka melangkah menurut jalan-Nya.
[4] Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan bersungguh-sungguh.
[5] Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu!
[6] Maka tidaklah aku malu apabila aku meneliti segala perintah-Mu.
[7] Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati apabila kupelajari hukum-Mu yang benar.
[8] Aku akan mematuhi ketetapan-Mu; janganlah tinggalkan aku selama-lamanya.
[9] Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya? Dengan berhati-hati menurut firman-Mu.
[10] Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu; janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
[11] Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.
[12] Terpujilah Engkau, ya Tuhan; ajarlah aku ketetapan-Mu.
[13] Dengan bibirku telah kuisytiharkan segala hukum yang Kaufirmankan.
[14] Aku telah bergembira dengan cara peraturan-Mu seperti dengan segala kekayaan.
[15] Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu dan memikirkan cara-cara-Mu.
[16] Aku akan menikmati ketetapan-Mu aku tidak akan melupakan firman-Mu.
[17] Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu.
[18] Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu.
[19] Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku.
[20] Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu.
[21] Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
[22] Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu.
[23] Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu.
[24] Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan.
[25] Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu.
[26] Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu.
[27] Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan.
[28] Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu.
[29] Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia.
[30] Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku.
[31] Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya Tuhan, jangan malukan aku.
[32] Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku.
[33] Ajarlah aku, ya Tuhan, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir.
[34] Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku.
[35] Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya.
[36] Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu bukan kepada ketamakan.
[37] Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu.
[38] Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu.
[39] Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik.
[40] Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu.
[41] Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya Tuhan, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu;
[42] dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu.
[43] Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu.
[44] Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya.
[45] Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu.
[46] Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu,
[47] dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi.
[48] Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu.
[49] Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu, dengannya Engkau telah memberiku harapan.
[50] Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup.
[51] Orang yang sombong mentertawakan aku, namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu.
[52] Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya Tuhan, dan aku melipurkan diriku.
[53] Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim, yang meninggalkan hukum-Mu.
[54] Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku.
[55] Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam, Ya Tuhan, dan aku mematuhi hukum-Mu.
[56] Ini telah menjadi milikku: kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
[57] Engkaulah yang ada padaku, ya Tuhan; aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu.
[58] Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku; kasihanilah aku menurut firman-Mu.
[59] Aku memikirkan gerak-geriku lalu aku melangkah ke arah peraturan-Mu.
[60] Aku bertindak segera, aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu.
[61] Tali orang zalim telah mengikatku, tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu.
[62] Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar.
[63] Aku teman kepada semua yang takut kepada-Mu, dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
[64] Bumi ini, ya Tuhan, penuh dengan kasih-Mu; ajarlah aku ketetapan-Mu.
[65] Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik Ya Tuhan, menurut firman-Mu.
[66] Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu.
[67] Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu.
[68] Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu.
[69] Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku.
[70] Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu.
[71] Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu.
[72] Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak.
[73] Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu.
[74] Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
[75] Aku tahu, ya Tuhan, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku.
[76] Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu.
[77] Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku.
[78] Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu.
[79] Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu.
[80] Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu.
[81] Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu.
[82] Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, "Bilakah Engkau akan melipurkan aku?"
[83] Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu.
[84] Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku?
[85] Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu.
[86] Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku.
[87] Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu.
[88] Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan.
[89] Untuk selama-lamanya, ya Tuhan; firman-Mu bertapak di syurga.
[90] Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman; Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada.
[91] Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu, kerana semuanya hamba-Mu.
[92] Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku, tentulah aku binasa menanggung penderitaan.
[93] Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya, kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup.
[94] Aku milik-Mu, selamatkanlah aku; kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu.
[95] Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku, tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu.
[96] Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan; tetapi perintah-Mu maha luas.
[97] Oh, betapa kucintai hukum-Mu! Aku merenungnya sepanjang hari.
[98] Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku.
[99] Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku.
[100] Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
[101] Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan supaya aku dapat mematuhi firman-Mu.
[102] Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu, kerana Engkau sendiri telah mengajarku.
[103] Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku!
[104] Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian; oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu.
[105] Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku.
[106] Aku telah bersumpah dan menegaskan, bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar.
[107] Aku menanggung kesusahan yang amat berat; pulihkanlah aku, ya Tuhan, menurut firman-Mu.
[108] Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, ya Tuhan, dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu.
[109] Nyawaku sentiasa terancam, namun aku tidak melupakan hukum-Mu.
[110] Orang zalim telah memasang jerat untukku, namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu.
[111] Peraturan-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya; kerana ia menggembirakan hatiku.
[112] Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu selama-lamanya, hingga ke akhir.
[113] Aku membenci orang yang curang, tetapi aku mencintai hukum-Mu.
[114] Engkaulah perlindunganku dan perisaiku; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
[115] Pergilah daripadaku, hai orang yang berbuat jahat, kerana aku akan mematuhi perintah-perintah Allahku!
[116] Teguhkanlah aku menurut firman-Mu, supaya aku dapat hidup; dan jangan biarkan aku malu kerana harapanku.
[117] Tegakkanlah aku, maka aku akan selamat; dan aku akan sentiasa mentaati ketetapan-Mu.
[118] Engkau menolak kesemua mereka yang menyimpang daripada ketetapan-Mu, kerana mereka memperdaya dan itu adalah pendustaan.
[119] Engkau menyingkirkan semua orang zalim di bumi seperti barang tidak berguna; oleh itu, aku mencintai peraturan-Mu.
[120] Tubuhku gementar kerana takut kepada-Mu; dan aku takut akan penghakiman-Mu.
[121] Aku telah melakukan keadilan dan kebenaran; janganlah tinggalkan aku di tangan penindasku.
[122] Jadilah penjamin hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindasku.
[123] Mataku kabur mencari penyelamatan-Mu, dan mencari firman-Mu yang benar.
[124] Perlakukan hamba-Mu berdasarkan kasih setia-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu.
[125] Aku hamba-Mu; berilah aku pengertian supaya aku dapat mengetahui peraturan-Mu.
[126] Sudah sampai masanya Engkau bertindak, ya Tuhan, kerana mereka menganggap hukum-Mu batal.
[127] Justeru aku mencintai perintah-perintah-Mu lebih daripada emas, ya, daripada emas tulen,
[128] justeru semua ajaran-Mu tentang semua perkara kuanggap benar, aku membenci setiap jalan yang palsu.
[129] Peraturan-Mu menakjubkan; oleh itu jiwaku mematuhinya.
[130] Kedatangan firman-Mu membawa cahaya; memberi pengertian kepada orang yang tulus.
[131] Aku membuka mulut dan tercungap-cungap, kerana aku merindui perintah-perintah-Mu.
[132] Pandanglah aku dan kasihanilah aku, sebagaimana yang biasa Kaulakukan kepada mereka yang mencintai nama-Mu.
[133] Pandulah langkahku dengan firman-Mu; dan jangan biarkan dosa menguasaiku.
[134] Lepaskan aku daripada penindasan manusia, supaya aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
[135] Limpahkanlah sinar wajah-Mu ke atas hamba-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu.
[136] Air mataku mengalir laksana sungai, kerana manusia tidak mematuhi hukum-Mu.
[137] Maha Benar Engkau, ya Tuhan, dan adil semua penghakiman-Mu.
[138] Peraturan-Mu yang telah Kauperintahkan benar dan sungguh setia.
[139] Semangatku telah membakar hatiku, kerana musuhku telah melupakan firman-Mu.
[140] Janji-Mu sudah teruji, dan hamba-Mu mencintainya.
[141] Aku daif dan dihina, namun aku tidak melupakan ajaran-ajaran-Mu.
[142] Keadilan-Mu kekal selama-lamanya dan hukum-Mu benar.
[143] Kesusahan dan kekhuatiran telah menyelubungiku, namun perintah-perintah-Mu bahagiaku.
[144] Peraturan-Mu benar selama-lamanya; berilah aku pengertian, maka aku akan hidup.
[145] Aku berseru dengan sepenuh hatiku; dengarlah aku, ya Tuhan, Aku akan mematuhi ketetapan-Mu.
[146] Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku maka aku akan mematuhi peraturan-Mu.
[147] Aku bangun sebelum fajar menyingsing, lalu berseru memohon pertolongan; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
[148] Aku bercekang mata sepanjang malam, supaya dapat merenung janji-Mu.
[149] Dengarlah suaraku dengan kasih-Mu; Ya Tuhan, pulihkanlah hidupku menurut hukum-Mu.
[150] Mereka yang mengikut jalan kejahatan semakin dekat, mereka telah menjauhi hukum-Mu.
[151] Namun Engkau dekat, ya Tuhan, dan semua perintah-Mu ialah kebenaran.
[152] Tentang peraturan-Mu, aku telah tahu dari dahulu bahawa Engkau mengasaskannya untuk selama-lamanya.
[153] Pertimbangkanlah kesakitanku dan lepaskanlah aku, kerana aku tidak melupakan hukum-Mu.
[154] Belalah dan tebuslah aku; pulihkanlah hidupku menurut janji-Mu.
[155] Penyelamatan jauh daripada orang zalim, kerana mereka tidak mencari ketetapan-Mu.
[156] Sungguh limpah belas kasih-Mu, ya Tuhan; pulihkanlah hidupku menurut hukum-hukum-Mu.
[157] Besar bilangan penganiayaku dan musuhku, namun aku tidak berpaling daripada peraturan-Mu.
[158] Aku melihat orang yang khianat dan aku berasa meluat, kerana mereka tidak mematuhi firman-Mu.
[159] Pertimbangkanlah betapa aku mencintai ajaran-ajaran-Mu; pulihkanlah hidupku, ya Tuhan, dengan kasih-Mu.
[160] Seluruh firman-Mu benar; dan seluruh hukum-Mu yang benar kekal selama-lamanya.
[161] Raja-raja menganiaya aku tanpa sebab, tetapi hatiku mengagumi firman-Mu.
[162] Aku bergembira dengan janji-Mu umpama orang yang menjumpai harta yang amat bernilai.
[163] Aku benci dan jijik kepada pendustaan tetapi aku mencintai hukum-Mu.
[164] Tujuh kali sehari aku memuji-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar.
[165] Sungguh besar kesejahteraan mereka yang mencintai hukum-Mu, dan tiada suatu pun menyebabkan mereka tergelincir.
[166] Ya, Tuhan, aku mengharapkan penyelamatan-Mu, dan aku menjalankan perintah-perintah-Mu.
[167] Jiwaku mematuhi peraturan-Mu, dan aku sungguh mencintainya.
[168] Aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu dan peraturan-Mu, kerana semua langkahku terbentang di hadapan-Mu.
[169] Biarlah seruanku datang ke hadirat-Mu, ya Tuhan; berilah aku pengertian menurut firman-Mu.
[170] Biarlah permohonanku datang ke hadirat-Mu; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
[171] Bibirku akan melafazkan pujian, kerana Engkau mengajarku ketetapan-Mu.
[172] Lidahku akan bertutur tentang firman-Mu, kerana semua perintah-Mu ialah kebenaran.
[173] Biarlah tangan-Mu menolongku, kerana aku telah memilih ajaran-ajaran-Mu.
[174] Aku merindui penyelamatan-Mu, ya Tuhan, dan hukum-Mu kebahagiaanku.
[175] Biarlah jiwaku hidup, maka ia akan memuji-Mu, dan biarlah hukum-hukum-Mu menolongku.
[176] Aku telah tersesat seperti domba yang hilang. Carilah hamba-Mu, kerana aku tidak melupakan perintah-perintah-Mu.