Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:36

[1] Sesungguhnya, Allah baik kepada Israel, kepada mereka yang murni hati.

[2] Tetapi aku, kakiku hampir tersandung; langkahku hampir tergelincir.

[3] Kerana aku iri hati kepada mereka yang bermegah apabila kulihat kemewahan orang zalim.

[4] Mereka tidak sakit sebelum mati; kekuatan mereka tetap teguh.

[5] Mereka tidak susah seperti orang lain; mereka tidak dirundung bencana seperti orang lain.

[6] Oleh itu, mereka berkalungkan keangkuhan; keganasan menjadi pakaian mereka.

[7] Hati mereka yang kejam penuh kejahatan; fikiran mereka yang durjana melampaui segala batas.

[8] Mereka mencemuh orang dan merancang kejahatan serta penindasan; mereka bercakap sombong.

[9] Mulut mereka lancang menentang syurga, lidah mereka bercakap bongkak kepada seisi bumi.

[10] Maka orang mereka pulang ke sini dan air secawan penuh habis dihirup mereka.

[11] Lalu mereka berkata, "Bagaimana Allah tahu? Adakah Yang Maha Tinggi mempunyai pengetahuan?"

[12] Ketahuilah, mereka ini orang mungkar – yang sentiasa senang-lenang, mereka semakin kaya.

[13] Sesungguhnya, aku telah menyucikan hatiku dengan sia-sia; dan membasuh tanganku dengan hati yang bersih.

[14] Kerana sepanjang hari aku disakiti; dan dihukum setiap pagi.

[15] Kalaulah aku telah berkata, "Aku akan bercakap begini," ketahuilah, ertinya aku tidak jujur kepada keturunan anak-anak-Mu.

[16] Apabila aku memikirkan bagaimana hendak memahami ini, terlalu pedih bagiku

[17] hingga aku masuk ke tempat suci Allah; barulah aku mengerti tujuan mereka.

[18] Sesungguhnya, Engkau membawa mereka ke tempat-tempat licin; Engkau menghumbankan mereka ke dalam kemusnahan.

[19] Oh, betapa mereka ditimpa malapetaka, seperti dalam sekelip mata, mereka ketakutan!

[20] Seperti mimpi apabila seseorang terjaga, demikianlah, ya Tuhan, apabila Engkau terjaga, Engkau akan meluat akan bentuk mereka.

[21] Oleh itu, hatiku pilu dan fikiranku risau,

[22] Aku begitu bodoh dan jahil; aku seperti seekor binatang di hadirat-Mu.

[23] Namun demikian, aku sentiasa bersama-Mu; Engkau memegang tangan kananku.

[24] Engkau akan memandu aku dengan bimbingan-Mu, dan kemudian menerimaku ke dalam kemuliaan.

[25] Siapa yang ada untukku di syurga melainkan Engkau? dan tiada siapa di bumi yang kuingini selain Engkau.

[26] Tubuh dan hatiku layu, tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya.

[27] Kerana sesungguhnya, mereka yang jauh daripada-Mu akan binasa; Engkau telah memusnahkan kesemua mereka yang meninggalkan-Mu untuk melacurkan diri.

[28] Tetapi sungguh baik bagiku mendekati Allah. Aku telah menjadikan Tuhan Allah tempat aku bernaung; supaya aku dapat mengisytiharkan semua hasil kerja-Mu.

Mazmur — Chapters