[1] Dengarlah rayuanku memohon keadilan, ya Tuhan; dengarlah rintihanku. Dengarlah doaku yang bukan daripada bibir dusta,
[2] Pertahankanlah kebenaranku dari hadirat-Mu; Semoga mata-Mu melihat apa yang benar.
[3] Engkau telah menguji hatiku dan menelitiku pada waktu malam, Engkau telah mendugaku dan tidak menemui kecelaan; aku telah berazam memelihara lidahku daripada dosa.
[4] Perihal perbuatan manusia – menurut kata-kata yang Engkau ucapkan aku taat akan perintah-Mu; aku menjauhi segala jalan orang yang ganas.
[5] Langkahku tetap di jalan-Mu; dan kakiku tidak tergelincir.
[6] Aku menyeru-Mu kerana Engkau akan mendengarku, ya Allah; dengarlah, dengarlah kata-kataku ini.
[7] Tunjukkan kasih-Mu yang agung, dengan tangan kanan-Mu yang menyelamatkan semua yang bernaung kepada-Mu daripada mereka yang cuba meruntuhkan.
[8] Peliharakanlah aku sebagai kesayangan-Mu; lindungi aku di bawah naungan-Mu
[9] daripada orang zalim yang menyerangku, daripada musuh pemusnah yang mengepungku.
[10] Mereka telah menutup hati daripada kebaikan, mereka menuturkan kata-kata angkuh.
[11] Sekarang mereka mengepungku pada setiap langkah, mereka merenung sambil menjongkok di bumi.
[12] Seperti singa yang ingin mengoyak-ngoyak mangsa, seperti singa muda mengendap di tempat rahsia.
[13] Bangkitlah, ya Tuhan, hadapi dan tumbangkan musuhku; selamatkan nyawaku daripada orang zalim dengan pedang-Mu.
[14] Dengan tangan-Mu, selamatkan aku daripada manusia sebegitu, Ya Tuhan, daripada manusia duniawi yang mengumpul harta dalam hidup ini. Kaukenyangkan perut mereka yang Kaupelihara; anak-anak mereka cukup puas, dan mereka meninggalkan pusaka kepada zuriat.
[15] Tetapi dalam perbenaran aku akan melihat wajah-Mu; aku akan bahagia sepenuhnya apabila terjaga di hadirat-Mu.