[1] Bersyukurlah kepada Tuhan, serulah nama-Nya; beritahulah bangsa-bangsa tentang perbuatan-Nya.
[2] Menyanyilah untuk-Nya, nyanyikan mazmur untuk-Nya; katakanlah segala hasil kerja-Nya yang menakjubkan.
[3] Muliakanlah nama-Nya yang suci; biarlah hati mereka sukacita, mereka yang mencari Tuhan.
[4] Carilah Tuhan dan kekuatan-Nya; carilah wajah-Nya selama-lamanya.
[5] Ingatlah perbuatan-Nya yang menakjubkan, mukjizat-Nya, dan hukum-hukum yang difirmankan-Nya,
[6] Wahai benih Abraham hamba-Nya, kamu anak cucu Yakub, orang pilihan-Nya.
[7] Dia Tuhan Allah kita; hukum-hukum-Nya di seluruh bumi.
[8] Dia ingat akan perjanjian-Nya selama-lamanya, firman yang diperintahkan-Nya, bagi seribu keturunan,
[9] perjanjian yang telah dibuat-Nya dengan Abraham, dan sumpah-Nya kepada Ishak.
[10] Dan mengesahkannya kepada Yakub sebagai ketetapan, kepada Israel sebagai perjanjian yang kekal selama-lamanya:
[11] "Kepadamu Aku akan memberi Tanah Kanaan sebagai bahagian warisanmu."
[12] Ketika mereka hanya sebilangan kecil, cuma segelintir, dan orang asing di situ,
[13] apabila mereka pergi daripada satu bangsa kepada satu bangsa, daripada satu kerajaan kepada yang lain.
[14] Dia tidak membenarkan sesiapa pun menyakiti mereka; ya, Dia memarahi raja-raja kerana mereka:
[15] "Jangan sentuh umat yang Kuurapi; dan jangan sakiti nabi-nabi-Ku."
[16] Dia juga mengadakan kebuluran di tanah itu Dia memusnahkan semua bekalan makanan;
[17] Dia menghantar kepada mereka seorang bernama Yusuf – yang telah dijual sebagai hamba.
[18] Mereka menyakitkan kakinya dengan belenggu, dan mengikatnya dengan rantai besar,
[19] hingga sampai masa terjadi apa yang telah dikatakan-Nya, dan firman Tuhan membuktikan dia benar.
[20] Raja menghantar orang untuk mengeluarkannya dari penjara, pemerintah bangsa itu membebaskannya.
[21] Dia menjadikan Yusuf ketua rumahnya, dan penguasa segala miliknya,
[22] untuk mengarahkan putera-puteranya sekehendak hatinya dan mengajarkan kebijaksanaan kepada para tua-tuanya.
[23] Kemudian Israel datang ke Mesir; dan Yakub tinggal di tanah asing Ham.
[24] Lalu Tuhan menambah umat-Nya dengan ramainya; dan menjadikan mereka lebih perkasa daripada musuh mereka.
[25] Dia memalingkan hati mereka supaya membenci umat-Nya, memperdaya hamba-hamba-Nya.
[26] Maka Dia menghantar hamba-Nya Musa, dan Harun yang telah dipilih-Nya.
[27] Mereka menunjukkan tanda-tanda-Nya dalam kalangan mereka, dan melakukan mukjizat di tanah Ham.
[28] Kemudian Dia menghantar kegelapan menyelubungi segala-galanya – kerana mereka memberontak terhadap firman-Nya.
[29] Dia menukarkan perairan mereka menjadi darah, dan membunuh ikan mereka.
[30] Tanah mereka dipenuhi katak, sampai ke bilik istana raja-raja mereka.
[31] Dia berfirman, maka datanglah lalat yang banyak, dan agas di seluruh wilayah mereka.
[32] Dia mengubah hujan menjadi hujan batu, dan mencurahkan api bernyala-nyala di tanah mereka.
[33] Dia juga menumbangkan pokok anggur dan pokok ara serta menghancurkan pokok-pokok di wilayah mereka.
[34] Dia berfirman, maka datanglah belalang, belalang muda yang tidak terkira banyaknya;
[35] yang memakan semua tanaman di tanah mereka, dan buah-buahan di kawasan mereka.
[36] Dia juga membunuh semua anak lelaki sulung di tanah mereka, yang pertama daripada seluruh kekuatan mereka.
[37] Dia membawa umat-Nya keluar dengan perak dan emas, dan tiada yang lemah antara suku-suku-Nya.
[38] Apabila mereka pergi orang Mesir bersukacita, kerana takut akan mereka.
[39] Dia memayungi umat-Nya dengan awan untuk berteduh, dan memberikan api untuk menerangi mereka pada waktu malam.
[40] Mereka memohon, lalu Dia membawakan burung puyuh dan mengenyangkan mereka dengan roti syurga.
[41] Dia membukakan batu pejal, maka air terpancar; lalu mengalir di tempat-tempat gersang seperti sungai.
[42] Kerana Dia ingat akan janji-Nya yang suci dan hamba-Nya Abraham.
[43] Dia membawa keluar umat-Nya dengan bahagia, kaum pilihan-Nya dengan sorak-sorai kegembiraan;
[44] Dia memberi kepada mereka tanah orang asing, dan mereka mewarisi usaha bangsa-bangsa lain –
[45] supaya mereka mematuhi ajaran-ajaran-Nya dan mentaati hukum-hukum-Nya. Pujilah Tuhan!