[1] Dengarlah kata-kataku, Ya Tuhan, pertimbangkan keluhanku.
[2] Dengarlah jeritanku meminta tolong, wahai Rajaku dan Allahku, kerana kepada-Mu aku berdoa.
[3] Pada waktu pagi, ya Tuhan, Kaudengar suaraku; pada waktu pagi kulafazkan permohonanku ke hadirat-Mu lalu menanti dengan harapan.
[4] Engkau bukanlah Allah yang suka akan kejahatan; dengan-Mu orang zalim tidak dapat tinggal.
[5] Orang angkuh tidak dapat berdiri di hadirat-Mu; Engkau benci akan semua yang berbuat jahat.
[6] Engkau membinasakan orang yang berdusta; orang yang suka menumpahkan darah dan memperdaya dibenci oleh Tuhan.
[7] Tetapi aku, dengan limpah belas kasihan-Mu, akan masuk ke rumah-Mu; dengan sepenuh hormat aku akan tunduk ke arah Bait Suci-Mu.
[8] Pimpinlah aku, ya Tuhan, dalam perbenaran-Mu kerana musuh-musuhku – luruskanlah jalan-Mu di hadapanku.
[9] Tiada sepatah kata pun daripada mulut mereka dapat dipercayai; hati mereka dipenuhi pembinasaan. Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; lidah mereka menuturkan tipu daya.
[10] Isytiharkan mereka bersalah, ya Allah! Biarkan pakatan sulit mereka menjatuhkan mereka. Singkirkan mereka kerana dosa mereka yang banyak, kerana mereka telah menderhaka terhadap-Mu.
[11] Tetapi biarlah semua orang yang bernaung kepada-Mu bersukacita; biar mereka sentiasa bernyanyi kegembiraan. Berilah mereka perlindungan-Mu, supaya orang yang mengasihi nama-Mu dapat bersukacita dalam-Mu.
[12] Kerana, ya Tuhan, tentulah Engkau memberkati orang yang benar; Engkau melindungi mereka dengan kemurahan-Mu seperti dengan perisai.