Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:36

[1] Hatiku melimpah dengan tema yang indah, aku menyanyikan ciptaanku tentang Raja; lidahku seperti pena pujangga.

[2] Engkau lebih hebat daripada anak-anak manusia; kasih kurnia tercurah di bibir-Mu, maka Allah memberkati-Mu selama-lamanya.

[3] Ikatkan pedang-Mu di pinggang, wahai Raja yang perkasa; dengan kemuliaan dan kedaulatan-Mu.

[4] Dan dalam kedaulatan-Mu tujulah kemenangan bagi kebenaran, kerendahan hati dan keadilan; maka tangan kanan-Mu akan mengajar-Mu pelbagai perkara yang menakjubkan.

[5] Anak-anak panah-Mu tajam menikam jantung musuh Raja; bangsa-bangsa rebah ke bawah kaki-Mu.

[6] Takhta-Mu, ya Allah, kekal selama-lamanya; tongkat keadilan adalah tongkat kerajaan-Mu.

[7] Engkau mencintai perbenaran dan membenci kejahatan; oleh itu Allah, Allah Tuhan-Mu, telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.

[8] Seluruh pakaian diharumi damar wangi, gaharu dan cendana dari istana-istana gading yang menggirangkan hati-Mu.

[9] Puteri raja-raja antara perempuan terhormat di keliling-Mu; di sebelah tangan kanan-Mu berdiri permaisuri berhias emas dari Ofir.

[10] Dengarlah, wahai anak perempuan, pasang telingamu baik-baik dan timbangkan kata-kataku: Lupakan bangsamu dan rumah ayahandamu.

[11] Kecantikanmu memikat hati Raja; hormati Dia kerana Dia Tuanmu,

[12] Puteri Tirus akan datang membawa hadiah, orang kaya akan cuba mengambil hati-Mu.

[13] Puteri penuh kemuliaan di istana; pakaiannya ditenun dengan benang emas.

[14] Dia akan dibawa menghadap Raja dengan pakaian aneka warna; anak-anak dara yang mengiringnya akan menghadap-Mu.

[15] Dengan gembira dan sorakan ria mereka akan dibawa; mereka akan masuk ke istana Raja.

[16] Anak-anak-Mu akan menggantikan nenek moyang-Mu; Engkau akan merajakan mereka di serata bumi.

[17] Dengan nyanyianku ini nama-Mu akan diingati turun-temurun; maka bangsa-bangsa akan memuji-Mu selama-lamanya.

Mazmur — Chapters