[1] Ya Allahku, ya Allahku, mengapa Engkau meninggalkan aku? Mengapa Engkau terlalu jauh untuk menolongku, dan untuk mendengar kata-kata rintihanku?
[2] Ya Allahku, aku meratap sepanjang siang, tetapi Engkau tidak mendengar, dan semalaman aku tidak berhenti merayu.
[3] Tetapi Engkau suci; bertakhta di atas puji-pujian umat Israel.
[4] Nenek moyang kami percaya kepada-Mu; mereka percaya dan Engkau menyelamatkan mereka.
[5] Mereka merayu kepada-Mu, lalu mereka diselamatkan; mereka percaya kepada-Mu, dan tidak kecewa.
[6] Tetapi aku makhluk melata, bukan manusia, dikeji dan dihina orang.
[7] Semua yang melihatku mentertawakanku; mereka mencaciku, menggeleng kepala, sambil berkata:
[8] "Dia percaya kepada Tuhan; biar Tuhan selamatkan dia. Biar Tuhan lepaskan dia, kerana Tuhan berkenan kepadanya."
[9] Tetapi Engkaulah yang mengeluarkan aku dari rahim; Engkau membuat aku percaya ketika masih disusui ibuku.
[10] Aku diserahkan kepada-Mu sejak lahir; semenjak di rahim ibuku lagi Engkaulah Allahku.
[11] Janganlah jauh daripadaku, kerana kesusahan dekat denganku dan tiada siapa yang menolong.
[12] Banyak lembu jantan mengelilingiku; lembu jantan Basan yang kuat telah mengepungku.
[13] Mereka merenungku dengan mulut ternganga seperti singa yang mengaum ganas.
[14] Aku dicurah keluar seperti air, dan semua tulangku terseliuh daripada sendinya. Hatiku seperti lilin; dan telah cair dalam diriku.
[15] Kekuatanku telah kering-kontang, dan lidahku melekat ke langit-langitku; Engkau telah membawaku ke debu maut.
[16] Anjing-anjing telah mengelilingiku; gerombolan orang durjana mengepungku, mereka telah menembusi tangan dan kakiku.
[17] Aku dapat membilang semua tulangku; mereka membelalak merenungku.
[18] Mereka membahagikan pakaianku antara mereka dan untuk itu mereka membuang undi.
[19] Tetapi Engkau, ya Tuhan, janganlah jauh daripadaku; Ya Tuhan kekuatanku, segeralah datang menolongku.
[20] Selamatkan aku daripada pedang, dan nyawaku yang satu-satunya daripada cengkaman anjing.
[21] Selamatkan aku daripada mulut singa; dan daripada tanduk lembu liar.
[22] Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku; di tengah-tengah perhimpunan aku akan memuji-Mu.
[23] Kamu yang takut akan Tuhan, pujilah Dia! Semua kamu zuriat Yakub, muliakan Tuhan! Dan takutilah Dia, semua kamu anak cucu Israel!
[24] Kerana Dia tidak menghina atau menjijikkan derita orang yang menderita; dan Dia tidak menyembunyikan wajah-Nya daripada dia. Apabila dia berseru kepada-Nya, Dia mendengar.
[25] Pujian-pujian aku untuk-Mu kelak di perhimpunan besar; aku akan menunaikan sumpahku di hadapan mereka yang takut akan Dia.
[26] Orang miskin akan makan sehingga puas; mereka yang mencari Tuhan akan memuji-Nya – semoga hatimu hidup selama-lamanya!
[27] Setiap pelosok dunia akan ingat dan berpaling kepada Tuhan, dan semua kaum bangsa akan menyembah-Mu,
[28] kerana kerajaan milik Tuhan dan Dia memerintah segala bangsa.
[29] Semua orang yang makmur di bumi akan berjamu dan menyembah Tuhan; semua yang turun ke debu akan tunduk kepada-Nya – termasuk yang tidak dapat memelihara nyawa sendiri.
[30] Orang kemudian akan melayani-Nya; perihal Tuhan akan disampaikan kepada keturunan akan datang.
[31] Mereka akan datang mengisytiharkan perbuatan-Nya yang benar kepada bangsa yang akan lahir – bahawa Dia telah melakukan ini.