Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:51

[1] Bersoraklah dengan girang kepada Allah, wahai seluruh bumi!

[2] Nyanyikan kebesaran nama-Nya; lafazkan puji-pujian untuk-Nya penuh kemuliaan!

[3] Katakan kepada Allah, "Alangkah menakjubkan segala perbuatan-Mu! Kekuasaan-Mu sungguh besar semua musuh-Mu akan tunduk kepada-Mu.

[4] "Seluruh bumi akan menyembah-Mu; dan menyanyikan pujian kepada-Mu, mereka menyanyikan pujian kepada nama-Mu." Sela

[5] Marilah melihat perbuatan Allah, Dia sungguh menakjubkan dalam perbuatan-Nya terhadap anak-anak manusia!

[6] Dia mengubah laut menjadi tanah kering, mereka menyeberangi berjalan kaki – di sana kami bersukacita kerana-Nya.

[7] Dia memerintah dengan kekuasaan-Nya untuk selama-lamanya, Dia mengawasi bangsa-bangsa; jangan ada pemberontak cuba melawan-Nya. Sela

[8] Pujilah Allah kami, hai semua umat-Nya, biar suara puji untuk-Nya didengar orang;

[9] Dia telah melindungi kami daripada kematian dan tidak membiarkan kami dikalahkan.

[10] Kerana Engkau, ya Allah, telah menguji kami; Engkau telah memurnikan kami seperti perak yang dimurnikan.

[11] Engkau membiarkan kami terjerumus ke dalam perangkap Engkau membebani kami dengan derita.

[12] Engkau membiarkan orang memijak kepala kami; kami mengharungi api dan air, tetapi Engkau telah membawa kami keluar ke dalam limpahan rahmat dan pencapaian hasrat.

[13] Aku akan masuk ke rumah-Mu membawa korban bakaran, aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu –

[14] yang telah kulafazkan ketika aku dalam kesusahan.

[15] Aku akan mempersembahkan kepada-Mu ternakan yang digemukkan sebagai korban bakaran bersama bauan harum daging domba jantan; aku akan mempersembahkan lembu jantan dan kambing. Sela

[16] Marilah dan dengarlah, wahai kamu yang takut akan Allah; aku akan mengisytiharkan apa yang telah dilakukan-Nya untukku.

[17] Aku berseru kepada-Nya dengan mulutku; dan dengan lidahku Dia disanjung.

[18] Kalaulah ada niat jahat dalam hatiku, Tuhan tidak akan mendengar rayuanku;

[19] tetapi sesungguhnya Allah telah mendengar suaraku dan telah mengabulkan doaku.

[20] Segala puji bagi Allah, yang tidak menolak doaku dan tidak menyingkirkan aku daripada kasih-Nya!

Mazmur — Chapters