[1] Ya Tuhan, janganlah menempelak aku dalam kemarahan-Mu atau menghukum aku dalam kemurkaan-Mu.
[2] Kasihanilah aku, ya Tuhan, kerana aku longlai; Ya Tuhan, sembuhkanlah aku, kerana tulang-tulangku terseksa.
[3] Jiwaku gundah-gulana. Berapa lama, ya Tuhan, berapa lama?
[4] Berpalinglah semula kepadaku, ya Tuhan, dan lepaskan aku; selamatkan aku kerana kasih setia-Mu.
[5] Tiada sesiapa mengingati-Mu setelah dia mati. Siapa yang memuji-Mu dari kubur?
[6] Aku letih lesu kerana mengerang; sepanjang malam kubanjiri tempat tidurku dengan tangisan dan kubasahi katilku dengan air mata.
[7] Mataku menjadi lemah kerana kesedihan; dan semakin kelam kerana musuhku.
[8] Nyahlah dari sisiku, hai kamu yang berbuat jahat, kerana Tuhan telah mendengar ratapanku.
[9] Tuhan telah mendengar jeritanku memohon belas kasihan; Tuhan menerima doaku.
[10] Semua musuhku akan malu dan kecewa; mereka akan berpatah balik dalam keaiban yang tiba-tiba.