Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:22

[1] Dengarlah doaku, ya Allah, dan jangan palingkan wajah-Mu daripada rayuanku;

[2] berilah perhatian-Mu kepadaku, dengarlah kata-kataku. Aku gelisah menderita, aku merintih kuat

[3] kerana mendengar suara musuh, kerana ditindas orang zalim; mereka membawa kesusahan kepadaku dan mereka marah serta membenciku.

[4] Hatiku terseksa; dan dihimpit rasa ngeri akan dahsyatnya maut.

[5] Aku berasa gerun dan gementar; aku tertekan oleh ketakutan.

[6] Maka aku berkata, "Kalaulah aku bersayap seperti merpati, aku akan terbang ke mana-mana mencari damai,

[7] bahkan aku akan pergi jauh dan tinggal di gurun. Sela

[8] Aku akan segera melarikan diri, daripada angin kencang dan ribut."

[9] Binasakanlah mereka, ya Tuhan, kelirukan lidah mereka, kerana aku telah melihat keganasan dan rusuhan di kota.

[10] Siang malam mereka mengelilingi kota; melakukan kejahatan dan membawa kekacauan.

[11] Pembinasaan berlaku di tengah-tengah kota; penindasan dan penipuan menetap di jalan-jalan rayanya.

[12] Bukan musuh yang mengecamku, kalau musuh, masih dapat kutanggung; bukan pembenciku yang bangkit menentangku, kalau pembenciku, masih dapat aku bersembunyi.

[13] Tetapi kamu yang melakukannya, rakan sebayaku, temanku, kawanku,

[14] dahulu kita berbincang mesra dan berjalan seiring ke Rumah Allah di tengah-tengah orang ramai.

[15] Biar maut menyambar mereka; biar mereka turun hidup-hidup ke neraka, kerana kejahatan meliputi tempat tinggal dan perhimpunan mereka.

[16] Aku akan berseru kepada Allah, dan Tuhan akan menyelamatkan aku.

[17] Petang, pagi dan tengah hari aku akan berdoa dan meratap kuat, dan Dia akan mendengar suaraku.

[18] Dia telah menyelamatkan nyawaku dan membawaku pulang dengan selamat dari medan perang, padahal musuhku begitu ramai.

[19] Allah yang wujud selama-lamanya, Allah akan mendengar dan menghukum mereka – Sela kerana mereka tidak mengubah kelakuan, nyatalah mereka tidak takut akan Allah.

[20] Bekas sahabatku itu telah menyerang orang yang hidup berbaik-baik dengannya; dia telah memungkiri janjinya.

[21] Kata-katanya halus lunak, tetapi niat perang tersembunyi dalam hatinya; kata-katanya lemah-lembut, tetapi serupa pedang terhunus.

[22] Serahkanlah bebanmu kepada Tuhan Dia akan menolongmu; Dia tidak akan membiarkan orang yang benar dikalahkan.

[23] Engkau, ya Allah, akan membinasakan orang zalim ke dalam lembah kehancuran; orang yang suka menumpahkan darah dan menipu tidak akan mencapai separuh usia. Aku akan percaya kepada-Mu.

Mazmur — Chapters