Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:36

[1] Tuhan cahayaku dan penyelamatanku – siapa perlu kutakuti? Tuhan kekuatan hidupku – siapa harus aku gentar?

[2] Apabila orang durjana menyerangku untuk membaham dagingku, semua musuh dan seteruku itu, tersandung lalu rebah.

[3] Kalaupun seangkatan tentera mengepungku, hatiku tidak akan ngeri; meski perang bangkit melandaku, tentang ini aku tetap yakin.

[4] Satu perkara yang kuingini daripada Tuhan, akan kupohonkan: semoga aku akan tinggal di dalam rumah Tuhan seumur hidupku, melihat keindahan Tuhan dan tinggal di dalam rumah suci-Nya.

[5] Kerana pada waktu kesusahan Dia akan menyembunyikan aku di astaka-Nya; di ruang rahsia khemah-Nya Dia akan menyembunyikan aku. Dia akan mengangkatku ke atas batu pejal.

[6] Dan sekarang kepalaku diangkat tinggi di atas musuh sekelilingku; maka aku akan mempersembahkan korban dengan sorak-sorai kegembiraan di khemah-Nya; aku akan menyanyi, ya, aku akan menyanyi memuji Tuhan.

[7] Dengarlah, ya Tuhan, apabila suaraku berseru; dan kasihanilah aku, serta sahut seruanku.

[8] Hatiku berkata tentang-Mu, "Carilah wajah-Nya!" Wajah-Mu, ya Tuhan, akan kucari.

[9] Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku, jangan singkirkan hamba-Mu dengan murka; Engkau telah menolongku. Jangan pergi daripadaku, jangan tinggalkan aku, Ya Allah Penyelamatku.

[10] Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku, Tuhan akan memeliharaku.

[11] Ajarlah aku jalan-Mu, Ya Tuhan, dan bimbinglah aku ke jalan sejahtera kerana aku diserang musuh.

[12] Jangan serahkan aku ke tangan seteruku, kerana aku digugat saksi-saksi palsu, dan orang yang ganas.

[13] Tentulah aku putus asa melainkan aku percaya: bahawa aku akan melihat kebaikan Tuhan di tanah orang yang hidup.

[14] Nantikanlah Tuhan; tabahkan dirimu, teguhkan hatimu Ya, nantikanlah Tuhan!

Mazmur — Chapters