Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:22

[1] Ya Allah, bangsa-bangsa telah merampas warisan pusaka-Mu; Bait Suci-Mu telah dicemari oleh mereka, mereka telah meruntuhkan Yerusalem.

[2] Mayat hamba-hamba-Mu telah diberi mereka sebagai makanan burung angkasa, tubuh umat-Mu yang warak dijadikan habuan binatang di bumi.

[3] Darah mereka telah ditumpahkan seperti air sekitar Yerusalem, dan tiada siapa yang mengebumikan mereka.

[4] Kami telah menjadi bahan celaan negeri-negeri jiran, sasaran bagi cemuhan dan ejekan mereka yang di sekeliling kami.

[5] Berapa lama, ya Tuhan? Akan murkakah Engkau selama-lamanya? Akan terus menyalahkan rasa cemburu-Mu seperti api?

[6] Curahkanlah kemarahan-Mu ke atas bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu, dan kerajaan-kerajaan yang tidak menyeru nama-Mu;

[7] kerana mereka telah menelan Yakub dan meranapkan tempat kediamannya.

[8] Janganlah ingat akan dosa kami yang silam; segeralah limpahkan belas kasihan-Mu ke atas kami, kerana kami telah dijatuhkan sama sekali.

[9] Tolonglah kami, ya Allah Penyelamat kami, demi kemuliaan nama-Mu; lepaskan kami serta berilah kami peluang menebus dosa kami demi nama-Mu.

[10] Mengapa bangsa-bangsa harus berkata, "Di mana Allah Tuhan mereka?" Biarlah bangsa-bangsa sekeliling kami mengetahui pembelaan darah hamba-hamba-Mu yang telah ditumpahkan.

[11] Biarkan rintihan orang tawanan sampai ke hadirat-Mu; dengan kebesaran kuasa-Mu peliharalah mereka yang dihukum mati.

[12] Dan balaskan tujuh kali ganda kepada bangsa-bangsa jiran kami yang telah mencela-Mu, ya Tuhan,

[13] Oleh itu, kami, umat-Mu dan kawanan domba-Mu, akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya; kami akan memuji-Mu turun-temurun.

Mazmur — Chapters