[1] Aku menantikan Tuhan dengan sabar; lalu Dia berpaling kepadaku dan mendengar rayuanku.
[2] Dia mengeluarkanku daripada lubang yang dahsyat, daripada tanah liat berpaya; dan meletakkan aku berpijak di atas bukit batuan serta menetapkan langkahku.
[3] Dia telah meletakkan nyanyian baru di bibirku, puji-pujian kepada Allah kita. Ramai yang akan melihat dan berasa takut lalu percaya kepada Tuhan.
[4] Diberkatilah orang yang menjadikan Tuhan kepercayaannya, dan tidak gentar terhadap orang angkuh serta pendusta.
[5] Sungguh banyak, ya Tuhan, Ya Allahku, perbuatan menakjubkan yang telah Kaulakukan. Dan ingatan-Mu kepada kami tidak dapat disebutkan satu persatu; kalaulah aku cuba mengisytiharkannya, banyaknya tidak terkira.
[6] Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah membukakan telingaku; persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai.
[7] Kemudian aku berkata, "Lihatlah, aku telah datang – dalam naskhah kitab ada tersurat tentangku.
[8] Aku sukacita menjalankan kehendak-Mu, ya Allahku; dan hukum-Mu tertera dalam hatiku."
[9] Aku telah mengisytiharkan berita baik tentang perbenaran di perhimpunan besar; sesungguhnya aku tidak mengekang mulutku, Ya Tuhan, Engkau sendiri mengetahui.
[10] Aku tidak menyembunyikan perbenaran-Mu dalam hatiku; aku telah mengisytiharkan kesetiaan-Mu dan penyelamatan-Mu. Aku tidak merahsiakan kasih-Mu dan kebenaran-Mu daripada perhimpunan besar.
[11] Janganlah berhenti memberikan belas kasihan-Mu, ya Tuhan; peliharakanlah aku sentiasa dengan kasih-Mu dan kebenaran-Mu.
[12] Kerana terlalu banyak kejahatan mengelilingiku; dosaku telah dapat memburuku, tidak terdaya aku mengangkat mata. Bilangannya melebihi rambut di kepalaku, maka hatiku tidak bermaya menghadapinya.
[13] Ya Tuhan, berkenanlah untuk menyelamatkanku; Ya Tuhan, segeralah tolong aku.
[14] Biar mereka dimalukan dan dikelirukan, mereka yang ingin meragut nyawaku; biar mereka berundur dan menanggung aib mereka yang hendak memusnahkan aku.
[15] Biar mereka berundur kerana malu, mereka yang mengejekku, "Aha! Aha!"
[16] Biar semua yang mencari-Mu bergembira dan bersukacita kerana-Mu; dan biar mereka yang cinta akan penyelamatan-Mu berkata sentiasa, " Tuhan Maha Tinggi!"
[17] Aku miskin dan sesak; tetapi Tuhan ingat kepadaku. Engkaulah penolong dan penyelamatku; janganlah berlengah-lengah, ya Allahku.