Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:09

[1] Selamatkanlah aku, ya Allah, kerana air sudah naik ke leherku.

[2] Aku tenggelam dalam air lumpur yang dalam, aku tidak dapat berjejak. Aku telah masuk ke air yang dalam; dan aku hampir lemas.

[3] Aku lesu meratap; kerongkongku kering. Mataku kelam, menanti Allahku.

[4] Mereka membenciku tanpa alasan lebih banyak daripada rambut di kepalaku; mereka yang hendak membinasakan aku amat berkuasa, mereka memusuhiku sedangkan aku tidak bersalah. Meski aku tidak mencuri apa-apa aku dipaksa membayar.

[5] Ya Allah, Engkau mengetahui kebodohanku; dan dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu.

[6] Jangan biarkan orang yang menanti-Mu menanggung malu keranaku, Ya Tuhan, Allah alam semesta; jangan biarkan mereka yang mencari-Mu menjadi kelam-kabut keranaku, Ya Allah Israel.

[7] Kerana-Mu aku telah menerima celaan, keaiban telah menyaluti mukaku.

[8] Aku telah menjadi orang asing kepada saudara-saudaraku, orang luar kepada anak-anak ibuku;

[9] kerana kasihku terhadap rumah-Mu membakar hatiku, lalu segala celaan daripada mereka yang mencela-Mu telah menimpaku.

[10] Apabila aku menangis dan membersihkan jiwaku dengan berpuasa, aku dicela kerananya;

[11] ketika aku mengenakan pakaian penyesalan dosa, mereka mengejek aku.

[12] Orang yang duduk di pintu pagar mengumpat aku, dan aku menjadi bahan nyanyian orang mabuk.

[13] Tetapi aku tetap berdoa kepada-Mu, ya Tuhan, pada masa yang Kauredai; Ya Allah, dengan limpah kasih-Mu, dengarlah rayuanku demi kebenaran penyelamatan-Mu.

[14] Selamatkanlah aku daripada perangkap lumpur, jangan biarkan aku tenggelam; selamatkan aku daripada mereka yang membenciku, dan daripada air yang dalam.

[15] Jangan biarkan ombak melemaskan aku jangan biarkan aku terbenam ke dasar laut atau lubang kubur menelanku.

[16] Dengarlah rayuanku, ya Tuhan, kerana kasih-Mu sungguh besar; berpalinglah kepadaku demi limpah belas kasihan-Mu.

[17] Jangan sembunyikan wajah-Mu daripada hamba-Mu; kerana aku dalam kesusahan, segeralah kabulkan doaku.

[18] Dekatilah aku, selamatkan aku; lepaskan aku daripada musuhku.

[19] Engkau tahu bagaimana aku dicela, dimalukan dan dihina; musuhku semuanya berada di hadapan-Mu.

[20] Celaan mematahkan hatiku dan aku menanggung kepiluan; kucari orang yang kasihan, tiada seorang pun kutemui, kucari orang yang melipurkan, tidak kujumpai.

[21] Mereka memberi aku hempedu untuk dimakan dan apabila aku dahaga, mereka memberiku cuka untuk diminum.

[22] Biarlah mereka terjerat oleh jamuan sendiri; dan terperangkap oleh kesenangan sendiri.

[23] Kelamlah mata mereka, supaya mereka buta, dan biarlah pinggang mereka lemah menggeletar.

[24] Curahkan kemurkaan-Mu ke atas mereka; dan biarkan keberangan-Mu memusnahkan mereka.

[25] Biar tempat tinggal mereka lengang dan sepi; dan khemah-khemah mereka tiada penghuni.

[26] Kerana mereka menganiaya orang yang telah Kauhukum dan memperkatakan kesedihan orang yang telah Kaulukakan.

[27] Tambahkan lagi kejahatan mereka; jangan biarkan mereka menyertai penyelamatan-Mu.

[28] Biar mereka dipadamkan daripada buku orang yang hidup dan tidak tersurat bersama orang yang benar.

[29] Aku daif dan hiba; selamatkanlah aku, ya Allah, supaya aku dilindungi.

[30] Aku akan memuji nama Allah dengan nyanyian dan membesarkan-Nya dengan lafaz kesyukuran.

[31] Ini akan mendapat keredaan Tuhan lebih daripada persembahan korban lembu jantan, yang bertanduk dan berkuku.

[32] Orang yang rendah hati akan melihatnya dan bersukacita – dan kamu yang mencari Allah, hatimu akan pulih!

[33] Kerana Tuhan mendengar rayuan orang miskin dan tidak menyingkiri umat-Nya yang dipenjarakan.

[34] Biar langit dan bumi memuji-Nya, begitu juga lautan dan segala hidupan di dalamnya,

[35] kerana Allah akan menyelamatkan Sion dan membina semula kota-kota Yehuda. Supaya umat-Nya tinggal di sana dan memilikinya;

[36] keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi tempat itu, dan mereka yang mengasihi nama-Nya akan tinggal di situ.

Mazmur — Chapters